fbpx

Johor Tigris ada peluang perbaiki kedudukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOHOR Tigris bertekad untuk meraih sekurang-kurang satu kemenangan pada aksi minggu ketujuh ini ketika dijadual menentang Putrajaya Cyborg hari ini. - IHSAN STL

JOHOR Tigris nekad memperbaiki prestasi pasukannya meskipun hanya berbaki tiga lagi perlawanan pada aksi Premier dalam kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 musim ini.

Meskipun akur dengan kekalahan tipis ketika menentang ATM Guardians di Spice Arena, Bayan Baru di sini kelmarin, namun pasukan kendalian, Ahmad Jais Baharun itu yakin yang mereka belum terlambat untuk mengubah kedudukan carta STL pada minggu ketujuh ini.

Pengurusnya, Ahmad Asif Mohamad Halim berkata, pihaknya enggan memikirkan kekalahan yang dihadapi ketika menentang pasukan ATM menerusi set penentuan.

Menurutnya, corak persembahan yang dipamerkan barisan pemain terdiri pemain import, Siwatbanchan Seekhwa (tekong), Muqlis (pengumpan), Noraizat Nordin (perejam)  dan Haziq Norali (perejam) adalah cukup baik.

“Bertemu ATM Guardians semalam (kelmarin) adalah satu persembahan terbaik yang dipamerkan pasukan Johor Tigris jika dibandingkan dengan perlawanan  enam minggu yang lalu.

“Kami akur dan terima keputusan dengan hati terbuka biarpun dikatakan ada berlaku kesilapan daripada pihak pengadilan. Kami tidak mahu fikir kekalahan itu lagi.

“Apa yang pasti, kami akan baiki prestasi pasukan termasuk di bahagian serangan serta kesilapan dalam perlawanan sejak minggu pertama untuk dipersembahkan pada perlawanan menentang Putrajaya Cyborg petang esok (hari ini),” katanya.

Beliau memberitahu, pasukan itu nekad untuk memperoleh satu kemenangan pada minggu ketujuh ini sekali gus melonjak ke satu anak tangga ke kedudukan keenam carta STL.

“Tidak dinafikan, kekuatan Putrajaya Cyborg adalah di bahagian pertahanannya dan kami cuba memperkuatkan lagi posisi serangan dalam perlawanan itu nanti.

“Kita tahu yang servis Syahril Rosdi amat baik dan mampu kucar-kacirkan rentak permainan tetapi saya pasti serta percaya akan kebolehan yang akan dipamerkan barisan trio pasukan ini,” ujarnya.

 Ketika ini, Johor Tigris berada di kedudukan ketujuh carta STL setelah berdepan lapan kekalahan sejak minggu pertama.

ATM yang melakar kemenangan ke atas Johor Tigris 19-21, 21-9, 24-22 dalam perlawanan sengit petang kelmarin menyaksikan skuad bimbingan Aswadi Abdullah itu kini mengumpul 26 mata daripada 13 kemenangan untuk mengungguli carta ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI