fbpx

KKM tolak kemasukan produk rumusan bayi ada bakteria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua produk rumusan bayi yang dikesan mempunyai bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport.

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menolak kemasukan dua produk rumusan bayi jenama Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 paket) di semua pintu masuk negara selepas dikesan mengandungi bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah menghubungi syarikat pengeluaran produk rumusan bayi berkenaan iaitu Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. serta mengesahkan bahawa pihak syarikat sudah menarik semula produk yang berada di pasaran secara sukarela.

“KKM mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport dalam rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat.

“Hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati hanya dua produk rumusan bayi yang terbabit iaitu Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 paket) dengan nombor kumpulan yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kod bar pada bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham memaklumkan, syarikat yang terlibat juga telah mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk itu supaya menghentikan penjualan rumusan bayi berkenaan.

“Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi.

“Jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis atau sepsis, bagaimanapun ia jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, Noor Hisham turut menasihatkan agar semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok berkenaan hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenalpasti kumpulan kod rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk terbabit dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI