fbpx
BEGINILAH keadaan yang lengang akibat penyusutan pengunjung dan pelancong hingga mengakibatkan tempahan hotel kurang dan dibatalkan di Banda Hilir, Melaka semalam.

Ramai batal tempahan hotel kerana Omicron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata pengusaha hotel, rumah penginapan dan peniaga di seluruh negara bakal mengalami penyusutan pendapatan apabila ramai pelanggan mula membatalkan tempahan bilik selepas risau dengan keselamatan masing-masing ekoran peningkatan jangkitan Covid-19 varian Omicron ketika ini.

Pembatalan tempahan sepanjang musim cuti penggal persekolahan selama tiga minggu bermula Sabtu ini menyebabkan ramai hanya mahu bersiar-siar di lokasi dekat dengan kediaman yang tidak memerlukan mereka menginap di kawasan sesak.

Bagaimanapun, ada juga pe­ngusaha yang masih menerima tempahan dan premis dikunjungi pelancong dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan lengkap dos vaksin.

Di Kuala Terengganu, Setia­usaha Persatuan Pengusaha Resort Pulau Redang, Lim You Jing berkata, hampir 80 peratus tempahan yang diterima untuk musim cuti sekolah telah dibatalkan oleh pelanggan.
“Kami akur kerana sebahagian besar pengunjung risau dengan peningkatan mendadak kes Co­vid-19 kebelakangan ini. Ini satu berita buruk buat pengusaha seperti kami yang telah menanggung kerugian selama dua tahun.

“Kami baru hendak bangkit tetapi sudah terjejas. Sekumpulan 10 pengusaha resort di sini sudah belanja puluhan ribu ringgit seorang untuk membuat persediaan pembukaan semula 1 Mac ini, namun terpaksa ditangguhkan semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Pengusaha Redang Bay Resort itu berkata, semangat mereka seolah-olah direntap kerana segala usaha promosi sudah dilakukan.

Di Melaka, Pengerusi Persa­tuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Melaka, Sazali Sabri berkata, sebanyak 30 peratus tempahan bilik hotel telah dibatalkan pe­ngunjung.

Katanya, ketika ini, pengunjung yang menempah untuk menginap hanya 40 peratus.

“Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, hotel-hotel di negeri ini memang penuh, namun sejak kes Covid-19 meningkat, jumlah tempahan turun 40 peratus dan kini kami menerima pembatalan sehingga 30 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Inap Desa Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz pula memberitahu, setakat ini tempahan dite­rima masih memberangsangkan sehingga hujung minggu ini.

“Pada hari biasa pun masih ada pengunjung yang menginap di rumah inap desa,” katanya.

Di Langkawi, Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat berkata, tempahan hotel dan pakej pelancongan di pulau pe­ranginan itu tidak menunjukkan peningkatan ketara pada musim cuti sekolah.

“Hotel tiga bintang secara kasar terima 20 peratus tempahan. Mungkin ada yang buat tempahan saat akhir,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan Honey­zone Travel And Tours Sdn. Bhd., Hanishah Hasan, 42, dia menerima kira-kira 50 peratus tempahan pakej pelancongan berbanding pada cuti persekolahan sebelum ini.

“Biasanya kami menerima lebih kurang 80 hingga 90 tempahan. Kereta sewa juga tidak habis ditempah,” ujarnya.

Berbeza pula di Pulau Pinang apabila Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang, K. Raj Kumar memberitahu, peningkatan kes Covid-19 tidak begitu memberi kesan kepada kehadi­ran pelancong.

“Percutian diteruskan kerana ramai sedar terpaksa hidup de­ngan Covid-19 dan kebanyakannya sudah mengambil vaksin dan dos penggalak.

“Tempahan hotel ketika cuti sekolah mencecah 60 peratus dan ia kurang ketika Disember lalu iaitu 95 peratus. Kebanyakan yang membatalkan tempahan melibatkan acara atau majlis,” katanya.

Menurut Raj Kumar, kekura­ngan tempahan juga disebabkan oleh faktor lain seperti melancong ke tempat lain kerana sudah kerap ke Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN