fbpx

2 tekong darat dicekup angkut 24 PATI Myanmar guna MPV sewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menahan seramai 24 PATI warga Myanmar di dalam dua buah MPV dipandu dua lelaki di tepi Jalan Kampung Batu 4, Tanah Merah hari ini. FOTO IHSAN POLIS

TANAH MERAH – Dua tekong darat dicekup selepas dipercayai mengangkut 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) sewa di tepi Jalan Kampung Batu 4, di sini hari ini.

Dalam tangkapan kira-kira pukul 10 pagi itu, dua daripada 24 PATI yang terdiri daripada 12 lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan 12 wanita yang ditahan didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, lelaki berusia 40 dan 49 tahun itu ditahan semasa kedua-dua suspek masing-masing sedang memandu MPV jenis Hyundai Starex dan Toyota Vellfire.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam Hyundai Starex telah membawa kepada penemuan seramai 13 warganegara Myanmar manakala 11 lagi PATI berada di dalam Toyota Vellfire dengan kesemuanya tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Berdasarkan pemeriksaan, kesemua PATI berusia dalam lingkungan 15 hingga 41 tahun manakala seorang kanak-kanak itu pula berusia tiga tahun.

“Siasatan awal terhadap pemandu kedua-dua MPV itu mendapati, mereka mengambil kesemua PATI di Kampung Wakaf Simen, Nibong di sini dan akan dihantar ke Kepong, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, berdasarkan soal siasat terhadap kesemua PATI, mereka dipercayai masuk ke negara ini secara haram untuk bekerja di ibu negara.

Ujarnya, selain itu, kedua-dua tekong darat itu juga mengaku mereka menyewa dua buah MPV tersebut dan menerima upah sebanyak RM1,500 untuk membawa kesemua PATI dari Kelantan ke Kepong.

“Selain tangkapan 24 PATI, polis turut merampas kedua-dua buah MPV dan empat buah telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek dan PATI yang ditahan itu kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah. Dua PATI yang positif Covid-19 juga direman, namun mereka diletakkan di lokap berasingan,” katanya.

Tambah Zainuddin, kedua-dua pemandu MPV disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) manakala semua PATI disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI