NIKKI PALIKAT

Nikki Palikat jelmaan semula Anita Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

18 tahun lalu, bunga kariernya tumbuh di taman seni tanah air menerusi program realiti, Malaysian Idol musim pertama. Dia bukanlah juara, namun pemilik nama lengkap Nicolette Louisa Palikat itu tetap meninggalkan impak tersendiri. Dalam kalangan peminat, wanita mesra disapa Nikki itu cukup dikenali dek kemahiran melantunkan vokal menggunakan teknik ‘whistle register’.

Sehingga kini, Nikki Palikat masih merupakan antara vokalis unggul wanita tanah air yang mempunyai kemahiran tersebut bersulam kematangan dan pengalaman seni.

“Dahulu, saya tak pandai menyanyi pun. Ketika itu saya terlalu mentah untuk masuk industri,” ungkap Nikki tersenyum merendah diri.

Kendatipun, Nikki tetap berjaya meluncurkan dua album studio usai tamat ‘pengajian’ Malaysian Idol. Pertama, Maharani yang diterbitkan pada 2005 dan keduanya, album berjudul Hawa selang tiga tahun kemudian.

Menerusi diskografi disebutkan itu, lahir karya-karya seperti Caramu (featuring Zahid) dan Drama (featuring Ning Baizura dan Allahyarham Yanie) yang sangat lazim di bibir peminat.

Tanpa berselindung, Nikki memaklumkan, ada satu impiannya yang belum tercapai meskipun sudah hampir dua dasawarsa bergelumang dalam dunia seni muzik tanah air.

BAKAL hadir dengan single baharu tidak lama lagi, Nikki berharap lagu berentak balada tersebut akan membuka jalan untuknya lebih dikenali, seterusnya melangkah ke pentas AJL.

Anugerah Juara Lagu

Terlantun dari bibirnya, Anugerah Juara Lagu (AJL), satu acara muzik berprestij yang sangat didambakan. Bukan kerana mengejarkan trofi atau anugerah, dia sebalik percaya, menerusi pentas besar tersebut, industri akan lebih mengenal siapa sebenarnya Nikki Palikat.

“Saya harap sangat dapat masuk dan bertanding dalam AJL. Berbelas tahun lepas, lagu Caramu hanya sampai peringkat separuh akhir.

“Saya nak bertanding bukan sebab trofi tetapi atas nama seni. Saya ingin menyampaikan cerita melalui persembahan dan itulah apa yang saya suka lakukan dahulu, kini dan selamanya.

“Tengok artis lain buat persembahan dengan berseni di pentas tersebut membuatkan semangat saya membuak-buak untuk bekerja keras melayakkan diri,” katanya.

Foto: MUHAMAD IQBAL ROSLI Busana: LIREN & SYOMIRIZWA GUPTA Tatarias: FIRDAUS ZIN
Solekan: JOEY LAU Hiasan kepala: ARTE DE NARMI BY AFIQK Bunga mekar: ORKED FLORAL ARTISTRY

Justeru, selepas diadili sebagai naib juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) baru-baru ini, Nikki mula memasang impian dan strategi untuk melestarikan impian ke pentas muzik terbesar tanah air berkenaan.

Nikki bakal muncul dengan single terbaharunya bulan hadapan dan besar harapan, agar tuah sudi berpihak ke ribaannya.

“Tidak banyak yang boleh saya kongsi tentang single baharu itu, tetapi saya boleh janjikan, lagu berkenaan sangat istimewa dan berpotensi besar.

“Selepas tamat GV8, single akan membuatkan khalayak lebih kenal dan tahu kemampuan saya sebagai penyanyi.

“Patutnya lancar awal tetapi ada sedikit suntingan agar lebih indah, Berentak balada dan saya tak sabar untuk berkongsi kepada para peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan sejak awal pembabitan karier terutama sewaktu GV8,” tuturnya.

NIKKI tidak menolak untuk terus menyertai mana-mana pertandingan nyanyian. Mengakui sangat berminat dengan format program The Masked Singer, dia bersedia bila-bila masa andai diberikan peluang menyertai pertandingan sebegitu.

Anita Sarawak

Menyorot kembali pembabitan dirinya dalam GV8, antara perihal luar biasa yang diterjemahkan Nikki menerusi pertandingan tersebut adalah betapa dirinya lebih daripada sekadar seorang penyanyi.

Nikki seorang ‘storyteller’ (tukang cerita) yang memiliki penguasaan pentas dan teknik nyanyian menggerunkan. Itu satu fakta yang tidak dapat dinafikan.

Seperkara lagi, ramai yang kian mengiktiraf dirinya sebagai seorang penghibur berkaliber sehingga ada yang melabel dirinya sebagai jelmaan semula penghibur ternama, Anita Sarawak.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada Datuk Shah Rezza. Semasa beliau jadi juri jemputan, dia nak beri komen persembahan saya, namun tidak mempunyai kesempatan.

“Selepas tamat ‘show’, beliau sendiri datang jumpa saya. Dia kata, i want you to be the next Anita Sarawak.

“Katanya, gaya saya buat persembahan mengingatkan dirinya kepada legenda itu.

“Saya bangga terima komen sebegitu daripada orang yang kenal rapat dengan Anita Sarawak. Sebelum ini, saya tak terfikir pun sampai tahap itu (disamakan punya kualiti sepertinya).

“Saya sangat meminat dan hormat Anita Sarawak.

“Saya tak rasa layak disamakan dengan legenda sepertinya tapi apa yang saya tahu, setiap kali buat persembahan, saya akan beri sepenuh jiwa dan raga kerana itulah tugas saya sebagai penghibur,” jelas Nikki.

SEJAK 2013, Nikki sibuk beraksi di pentas teater muzikal dan tiada istilah merajuk dengan industri. Teater muzikal pertamanya bertajuk Shout the Mod Musical dan diikuti persembahan kedua, Euphrasia.

Publisiti murahan

Diajak berbicara tentang trend memasarkan muzik melalui publisiti murahan, Nikki tertawa.

Bukan bermaksud untuk menentang perkara tersebut seratus peratus, baginya, tidak menjadi satu kesalahan andai pendekatan sebegitu diguna pakai. Dia percaya, setiap penyanyi mempunyai pendekatan tersendiri.

“Saya tidak berada dalam posisi untuk memberitahu siapa layak dan siapa tidak layak bergelar anak seni, terutamanya penyanyi. Semua orang ada sumbangan tersendiri.

“Bagi saya mudah. Kalau apa yang kita kerjakan berjaya menghiburkan orang sekeliling, itu bagus. Kalau sesetengah individu itu tidak mampu menghiburkan, mereka takkan ada pengikut.

“Dunia dah berubah. Dahulu dan sekarang dah lain. Semua orang ada hak untuk buat apa yang mereka fikir boleh menjadi satu bentuk hiburan.

“Kalau mampu menghiburkan, saya percaya, ada tempat untuk mereka dalam industri,” ujarnya.
Nikki bagaimanapun percaya untuk bergelar seorang anak seni berkualiti dan kekal lama dalam industri, seseorang itu memerlukan bakat.

“Saya sangat percaya kepada bakat. Kalau ada bakat, seseorang itu boleh kekal lama dalam industri. Kita bercakap tentang longevity (kekal lama). Siapa layak atau tak layak masuk industri. Secara peribadi, saya tak pertikaikan perkara tersebut.

“Tetapi, kalau saya, semestinya saya nak kekal lama dan saya bergerak ke arah itu dengan bakat muzik yang saya ada. Saya mahu dipandang serius dan banyak lagi orang tak nampak kemampuan saya.

“Dalam GV8, baru dua peratus daripada kemampuan dan perjalanan sebenar saya sebagai seorang penghibur,” simpul Nikki menoktah bicara.

TIDAK mempunyai akses mudah ‘meminta’ lagu daripada suami yang merupakan seorang komposer, Audi Mok, Nikki lebih selesa bergerak sendiri tanpa bantuan cinta hatinya itu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN