SETIAP daripada kita pasti ada kisah seram yang tersendiri pernah dialami dan ia menjadi satu kenangan pahit yang tidak boleh dilupakan seumur hidup.
Kisah Mitos minggu ini memaparkan sekumpulan pemancing dikacau puntianak ketika leka menaikkan ikan yang dipancing di satu kawasan berhampiran Pulau Jerejak, Pulau Pinang ketika rembang senja.
Sejak peristiwa yang dialami lima tahun lalu itu, seorang pemancing yang dikenali sebagai Fariz menyatakan, dia serik untuk pergi ke tempat berpuaka lagi pada masa depan terutamanya ketika masa hampir senja.
———————————————————————————————————————————————-
BERTEMU atau diganggu makhluk halus sememangnya antara perkara kerap dialami kaki pancing, sama ada ketika memancing di kawasan paya, pantai ataupun di tengah laut.
Pengalaman menyaksikan pelbagai jelmaan makhluk halus itu sering diceritakan dari mulut ke mulut.
Bagi Fariz (bukan nama sebenar), dia turut mengalami sendiri pengalaman dikacau puntianak ketika memancing bersama rakan-rakannya di kawasan berhampiran Pulau Jerejak, Pulau Pinang.
Kisah seram itu berlaku kira-kira lima tahun lalu sewaktu dia dan tiga rakannya mencuba nasib memancing ikan di lokasi tersebut.
Katanya, sebelum itu, dia pernah mendengar cerita daripada kaki-kaki pancing lain yang memberitahu, pernah diganggu puntianak ketika memancing di salah satu lokasi berhampiran Pulau Jerejak.
Namun sebagai pemancing tegar, dia tidak mengambil pusing perkara itu, sebaliknya meneruskan hasrat memancing di perairan negeri tersebut termasuk di sekitar Jambatan Pulau Pinang.
“Kami menaiki bot yang dimiliki seorang rakan di jeti nelayan di Butterworth seawal pukul 8 pagi kerana berhasrat untuk memancing di beberapa tempat.
“Pada awalnya, kami memancing di kawasan sangkar ikan di perairan Batu Kawan, tetapi nasib tidak menyebelahi kami apabila sehingga pukul 2 petang, hanya lima ekor ikan sahaja berjaya dinaikkan.
“Kemudian, seorang rakan mencadangkan berpindah ke kawasan tiang Jambatan Kedua Pulau Pinang kerana ia antara port memancing popular. Bagaimanapun, kami tetap kecewa kerana ikan bersaiz kecil sahaja yang meragut umpan di situ,” katanya.

Ujar Fariz, disebabkan jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, mereka mengambil keputusan untuk pulang kerana kecewa dengan hasil pancingan yang tidak seberapa.
Namun katanya, sebaik melalui kawasan di belakang Pulau Jerejak, mereka terserempak dengan sebuah bot yang turut dinaiki sekumpulan pemancing yang memaklumkan, berjaya menaikkan puluhan ekor ikan yang di pancing di kawasan itu.
Sebaik melihat ikan dipancing kumpulan berkenaan memenuhi tong dibawa, Fariz dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan memancing di kawasan yang dimaksudkan bagi mengubat kekecewaan sebelum itu.
Katanya, ternyata apa yang dikatakan oleh kumpulan pemancing itu benar kerana dalam masa satu jam sahaja mereka berjaya menaikkan hampir 20 ekor ikan merah dan kerapu bersaiz antara 500 gram hingga sekilogram.
“Memandangkan umpan yang dibawa masih banyak, kami terus melabuhkan umpan dan seekor demi seekor ikan berjaya dinaikkan, seolah-olah kesemua ikan tersebut menyerah diri tanpa disedari.
“Ketika cahaya di langit sudah semakin gelap dan menghampiri waktu maghrib, baru kami sedar hanya bot kami sahaja masih berada di situ.
“Memandangkan umpan masih dijamah ikan, kami mengambil keputusan untuk terus memancing bagi mendapatkan sebanyak mungkin hasil tangkapan,” ujarnya lagi.
Ekoran sikap tamak dia dan rakan-rakannya itu, mereka akhirnya terpaksa menempuh pengalaman menakutkan apabila mula diganggu mahkluk halus, sama seperti yang pernah didengarinya sebelum ini.
Jelasnya, pada awalnya mereka hanya mendengar bunyi seakan-akan wanita mengilai dan diselang-seli dengan gelak ketawa yang agak kuat.
Akhirya, mereka mula tergamam apabila melihat kelibat lembaga berpakaian putih dan berambut panjang terbang melayang-layang di atas pokok yang terletak di kawasan berkenaan.
“Dalam keadaan terketar-ketar, kami terus menggulung tali pancing. Sebaik sahaja sauh bot dinaikkan, kami terus meninggalkan tempat tersebut tanpa berkata apa-apa.
“Pada malam tersebut, saya langsung tidak boleh tidur kerana asyik memikirkan kejadian yang berlaku sehingga keesokan harinya saya demam.
“Itulah pengalaman seram yang saya sendiri alami dan sejak itu, saya tidak akan pergi ke tempat-tempat yang dikatakan ‘berpuaka’ lagi, selain mengelak daripada memancing pada waktu senja.
“Ini kerana, dikatakan ketika itulah syaitan berkeliaran di atas muka Bumi ini,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, kejadian bertemu puntianak itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hobi memancing yang diminatinya, sebaliknya dijadikan pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati pada masa depan.
—————————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














