fbpx
Guan Eng (tengah) ketika mengumumkan calon DAP bagi kerusi DUN Bentayan dan Pekan Nanas dalam satu sidang akhbar di pejabat DAP Johor, Kulai, hari ini.

PRN Johor: DAP yakin PKR, Muda capai kata sepakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin perselisihan antara rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan dapat diselesaikan secara baik.

Menurut beliau, khabar angin kemungkinan berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama hanyalah satu andaian sahaja.

“(Pertembungan kerusi) Itu hanya andaian sahaja, sebaliknya saya suka buat andaian positif iaitu tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara PKR dan Muda.

“Saya yakin mereka akan berjaya capai kata sepakat untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sebagaimana DAP dan juga Parti Amanah Negara (Amanah).

“Sekarang masih belum ada keputusan jadi tidak guna buat andaian negatif, jadi isu berkenaan tidak sepatutnya timbul, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat DAP Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu perbincangan bersama PKR telah menemui kegagalan apabila PKR bertindak mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi DUN yang diperintah kepada mereka.

Susulan itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh pula dilaporkan memberitahu kegagalan kesepakatan itu disebabkan Muda menolak tawaran tiga kerusi diberi PKR sebaliknya mahu jumlah kerusi yang lebih dan berlainan kawasan.

Dalam pada itu, Guan Eng turut memberitahu pihaknya tidak mempunyai masalah dengan keputusan dibuat Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Berhubung keputusan Warisan, kita tiada masalah dan biarlah rakyat Johor yang menentukan kerana kita yakin pengundi di Johor bijak untuk membuat keputusan,” ujarnya ringkas sambil memaklumkan pihaknya tiada sebarang hubungan dengan Warisan. -KOSMO! ONLINE

 

POPULAR