fbpx

Peralatan jahitan alami kenaikan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOS menyelenggara mesin jahit turut mendorong kepada kenaikan upah jahit pakaian. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Harga upah bagi sepasang baju Melayu dan baju kurung yang mengalami kenaikan RM15 hingga RM30 pada tahun ini adalah berasas berikutan kenaikan harga peralatan menjahit dan kos penyelenggaraan mesin jahit.

Antara barangan yang meng­a­lami kenaikan harga adalah benang, zip, butang dan kertas gam.

Seorang tukang jahit, Zuraida Adnan, 37, berkata, kebanyakan harga peralatan menjahit mening­kat sejak awal tahun ini.

“Walaupun kenaikan tidak banyak tetapi tetap memberi kesan sekiranya tukang jahit mengambil tempahan dalam kuantiti yang banyak,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Zuraida, selain kenaikan harga peralatan, kos penyelenggaraan seperti minyak untuk motor mesin jahit turut meningkat.

Selain itu, tambah Zuraida, kenaikan harga upah pakaian turut bergantung kepada kemahiran seseorang tukang jahit.

Seorang lagi tukang jahit, Nur Kristel Abdul Gani, 32, turut me­ngakui berlaku kenaikan harga peralatan menjahit tahun ini.

“Ada beberapa barangan naik, namun tidak memberi kesan besar sekiranya dibeli dalam kuantiti yang banyak kerana kami mendapat harga borong.

“Bagi saya, upah jahit bergantung kepada kemahiran seseorang tukang jahit kerana untuk menghasilkan pakaian yang memenuhi citarasa pelanggan ia memerlukan ilmu. Itu yang menyebabkan upahnya mahal,” ujarnya.

Bagi Hannah Annura Azizan, 28, pula, kenaikan kos peralatan menjahit adalah disebabkan harga kain meningkat.

“Jika buat perbandingan sebelum ini, kebanyakan harga kain mengalami kenaikan disebabkan kos penghantaran tinggi. Material sutera berharga RM78 semeter berbanding RM75 sebelum ini,” katanya.

Kosmo! pada 17 Februari lalu melaporkan keghairahan orang ramai untuk bergaya dengan memakai baju raya baharu pada Hari Raya Aidilfitri nanti sedikit terjejas apabila kos upah bagi tempahan pakaian berkenaan meningkat sehingga mencecah RM200 sepasang.

Berdasarkan tinjauan Kosmo!, harga upah bagi sepasang baju Melayu dan baju kurung meng­alami kenaikan RM15 hingga RM30 berpunca daripada kos-kos operasi yang diperlu ditanggung oleh pemilik kedai dan tukang jahit.

Pada tahun lalu, upah menjahit sepasang baju kurung adalah RM100, namun meningkat kepada RM130 pada tahun ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI