MELAKA – Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) tidak menafikan kemungkinan harga ayam akan meningkat susulan kenaikan harga minyak diesel, namun masa sebenar kenaikan itu masih belum dapat dipastikan.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, setakat ini harga ayam di Melaka masih kekal pada paras biasa dan tidak terjejas kerana negara masih menggunakan bekalan sedia ada.
“Buat masa ini harga ayam masih stabil dan murah, namun kenaikan tetap akan berlaku disebabkan peningkatan kos terutama diesel yang ketara.
“Bila kenaikan itu akan berlaku, kami tidak dapat pastikan lagi kerana bergantung kepada keadaan bekalan dan kos semasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, sekiranya berlaku kenaikan, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan bagi merangka mekanisme sesuai supaya tidak membebankan rakyat.
“Perbincangan akan dibuat untuk mencari kaedah terbaik mengimbangi kos dan pada masa sama tidak menekan pengguna.
“Saya juga menggalakkan masyarakat menjadi pengguna bijak dengan membandingkan harga dan memilih peniaga yang menawarkan harga lebih rendah,” ujarnya.
Tambah beliau, Kementerian Ekonomi turut meminta FLFAM menyediakan laporan berhubung impak kenaikan harga diesel terhadap harga ayam dan telur.
Katanya, permintaan ayam di Semenanjung Malaysia ketika ini mencecah kira-kira 2.2 juta ekor sehari.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di Pasar Besar Melaka mendapati, ayam bersih dijual sekitar RM8.50 hingga RM10 sekilogram.
Seorang peniaga, Hamzah Othman, 62, berkata, harga tersebut kekal sejak awal Januari lalu termasuk sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina lalu dan Aidilfitri.
“Setakat ini harga memang tak berubah lagi, masih sama sejak awal tahun walaupun kos lain ada naik,” katanya.
Tinjauan di beberapa pasar raya pula mendapati harga ayam dijual lebih rendah, iaitu serendah RM6.29 sekilogram.














