fbpx
Hassan dan Siti Jazila menunjukkan beberapa menu popular di Urban Fry.

PKP paksa suami isteri teroka perniagaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Pengalaman hampir dua tahun ‘berkurung’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat peningkatan kes Covid-19 membuatkan pasangan Hassan Suray dan Siti Jazila Md. Ali nekad mencuba cabang perniagaan baharu.

Sebelum ini, kedua-duanya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) terlibat dalam sektor pembinaan dan bekerja sebagai kontraktor, namun ruang masa yang ada ketika berkurung membolehkan pasangan ini mencuba pelbagai resipi baharu.

Setelah dua tahun mencuba pelbagai jenis resipi makanan tempatan, kesungguhan Siti Jazila melakukan pelbagai eksperimen bagi menghasilkan menu masakan bercitarasakan Korea yang menepati selera peminatnya di negara ini dilihat membuahkan hasil.

Menurut Hassan, selepas beberapa pengubahsuaian dan penyelidikan dilakukan terhadap resipi dan menu, akhirnya dia dan isteri menerima pelawaan pihak pengurusan di ruang niaga Eco Grandeur, Puncak Alam untuk berniaga di kawasan itu pada 19 November lalu.

“Menggunakan jenama Urban Fry, ini merupakan perniagaan ‘street food’ popular Korea yang disediakan sepenuhnya oleh isteri saya menggunakan bahan utama didatangkan khas dari negara berkenaan.

“Selain itu, kami turut mengolah sendiri sos dan kimci mengikut selera masyarakat tempatan dan kami gembira apabila ia mendapat sambutan yang sangat baik sejak memulakan operasi pada November 2021,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Restoran Urban Fry bertempat di Eco Grandeur, Puncak Alam dibuka setiap hari

Antara menu popular di Urban Fry termasuk hidangan pelbagai jenis ayam yang diberi nama Chikin, dihidangkan bersama pilihan ‘sweet gochu’, ‘yangnyeom’, ‘spicy mala’ dan ‘soy butter garlic’ selain aneka Bap dan Myeon.

Bercerita lanjut, Siti Jazila menambah, dia turut mengikuti kelas teknologi makanan sepanjang tempoh PKP secara atas talian memandangkan dia tidak mempunyai latar belakang dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

Tambahnya, sebagai contoh, di Urban Fry, kentang goreng atau ‘Harajuku Loaded Fries’ yang disediakan bukan kentang sejuk beku sebagaimana lazim dihidangkan di mana-mana restoran makanan segera sebaliknya dia mengambil masa selama dua tahun menjalankan kerja-kerja penyelidikan bagi menghasilkan kentang istimewa dengan dua saiz berbeza.

“Setakat ini, kami mendapat sambutan yang bagus terutama daripada pelanggan yang merupakan penduduk sekitar sini, selain mereka yang datang dari Ijok, Tasik Puteri dan Berjuntai Bestari.

“Kami bercadang untuk mempunyai bangunan perniagaan sendiri dengan dapur pusat yang lebih teratur dan tersusun bagi mengembangkan lagi perniagaan ini ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

Urban Fry dibuka setiap hari, dengan waktu perniagaan pada Isnin hingga Khamis bermula pukul 12 tengah hari sehingga 9 malam, Jumaat (12 tengah hari hingga 10 malam) manakala bagi Sabtu dan Ahad ia beroperasi dari 11 pagi hingga 10 malam. – KOSMO! ONLINE

POPULAR