fbpx

MySTEP tawar 63,221 pekerjaan tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 63,221 pencari kerja telah ditawarkan Program jangka pendek (MySTEP) tahun lalu sekali gus melepasi sasaran 50,000 yang ditetapkan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, seramai 41,680 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam manakala 21,541 orang pekerja pula ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, pekerja berkenaan ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagi GLC pula, pemohon telah ditempatkan di organisasi seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional.

“Pada tahun lalu, MySTEP telah berjaya mencapai sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan dengan menempatkan seramai 63,221 orang pekerja,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat, hari ini.

Katanya, di bawah Bajet 2022, MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mulai Januari lalu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga telah menyediakan sebuah portal MySTEP bagi menambahbaik proses permohonan dan pengambilan pekerja di pihak sektor awam dan GLC.

Menurutnya, portal ini akan dilancarkan secara rasmi pada Majlis Pelancaran Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 esok.

“Mereka yang berminat untuk bekerja di sektor awam atau GLC hanya perlu memohon serta memuat naik resume melalui portal tersebut,” katanya.

Katanya, setakat 15 Februari lalu, program MySTEP telah menerima sebanyak 5,944 permohonan dan daripada jumlah itu, seramai 452 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan GLC.

Maklumat lanjut mengenai MySTEP boleh didapat dengan melayari Portal MySTEP di pautan https://mystep.mof.gov.my/. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI