fbpx
Video tular di aplikasi Tik Tok baru-baru ini memaparkan rakaman dipercayai sebelum dan selepas kematian seorang lelaki yang dipercayai bapa mereka.

Haram rakam kematian dengan niat bersuka-suka dimedia sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Perbuatan merakam video detik-detik penghujung hayat seseorang dengan niat untuk bersuka-suka atau berjenaka adalah haram hukumnya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, tindakan sebegitu sekiranya dilakukan merupakan perbuatan tercela, tidak sensitif dan amat tidak beretika.

“Kematian tidak wajar dijadikan bahan jenaka atau gurauan.

“Kematian adalah suatu kejadian yang amat serius di mana seorang yang dalam keadaan nazak sedang menghadapi detik-detik penentuan bagi nasib dirinya selepas itu di alam barzakh sementara menunggu hari pembalasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung video berdurasi 18 saat yang dimuat naik oleh pengguna aplikasi Tik Tok yang memaparkan trend ‘sebelum dan selepas’ yang menjadi ikutan di aplikasi media sosial itu.

Menerusi video berkenaan, terdapat bahagian ‘sebelum’ iaitu pada Oktober 2021 yang menunjukkan tiga beradik sedang menari sambil duduk manakala seorang lelaki dipercayai bapa mereka berdiri di belakang.

Suntingan untuk bahagian ‘selepas’ telah memasukkan rakaman bertarikh Februari 2022 di mana ketiga-tiga wanita berkenaan berdiri dengan kedudukan yang sama bersebelahan dengan jenazah bapa mereka.

Menurut Wan Salim, sepatutnya ahli keluarga seseorang yang sedang berada dalam situasi sebegini membantu menenangkan hati mereka yang sedang nazak.

“Mereka perlu membisikkan kalimah syahadah di telinganya supaya hayatnya diakhiri dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah).

“Ini sebagaimana diajar oleh Rasulullah. Selain itu ahli keluarga dan mereka yang hadir di sisi seorang yang nazak disarankan supaya membaca surah-surah tertentu seperti surah Yasin bagi memudahkan rohnya keluar dengan keberkatan ayat-ayat Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

POPULAR