fbpx

Malaysia tempah tiket Piala Uber 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KISONA menyumbangkan mata pertama buat skuad wanita negara selepas menumpaskan Kashyap 21-16, 18-21, 21-16 pada aksi BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia City hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Skuad badminton wanita negara berjaya menempah slot Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand pada Mei depan selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Kejayaan itu hadir selepas Malaysia sekali lagi mencipta sensasi apabila kali ini menewaskan India 3-2 pada aksi terakhir Kumpulan Y di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Ia sekali gus mengesahkan status Malaysia selaku juara Kumpulan Y dengan dua kemenangan selepas terdahulu turut mencatat kemenangan 3-2 ke atas Jepun pada aksi pembukaan semalam.

Kecemerlangan Malaysia hari ini bermula dengan kejayaan pemain perseorangan pertama, S. Kisona menewaskan Aakarshi Kashyap 21-16, 18-21, 21-16 sebelum Valeree Siow dan Pearly Tan menyumbang mata kedua buat skuad negara.

PEARLY (kiri) dan Valeree (kanan) dalam kelas tersendiri apabila menewaskan Gupta-Mehreen 21-1, 21-6 pada aksi BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia City hari ini. – SHIDDIEQIIN ZON

Valeree-Pearly mudah menewaskan Kushi Gupta-Riza Mehreen 21-1, 21-6, namun kejayaan itu gagal diteruskan Siti Nurshuhaini Azman apabila tewas 11-21, 19-21 kepada Ashmita Chaliha.

Bagaimanapun, kejayaan beregu kedua, Anna Cheong-Teoh Mei Xing 21-10, 21-12 ke atas Arul Bala Radhakrishnan-Nila Valluvan secara tidak langsung sudah mengesahkan kemenangan Malaysia ke atas India.

Kemenangan itu sudah cukup buat Malaysia walaupun perseorangan ketiga, Myisha Mohd. Khairul tumpas 16-21, 15-21 kepada Tara Shah pada perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan.

Lawan Malaysia di separuh akhir akan diketahui selepas undian dilakukan pada Jumaat ini sama ada bertemu semula naib juara Kumpulan Y, Jepun atau dua pasukan terbaik Kumpulan Z antara Korea Selatan dan Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI