fbpx
MALAYSIA (jersi hitam) sedang merangka program untuk memastikan skuad bola sepak wanita juga mampu layak ke pentas Piala Dunia Wanita. - FB FAM

Bola sepak wanita, bila pula giliran negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

MALAYSIA perlu cemburu de­ngan kejayaan Filipina dan Vietnam yang akan bersaing dalam pentas sama dengan gergasi-gergasi bola sepak wanita dunia.

Dua negara ‘kerdil’ dari Asia Tenggara itu mencipta sejarah baharu apabila layak buat kali pertama ke pentas Piala Dunia Wanita menjelang edisi seterus­nya di Australia dan New Zealand tahun depan.

Filipina layak selepas mara ke separuh akhir Piala Asia Wanita 2022 di India awal bulan ini untuk mengiringi tiga lagi kuasa besar, China, Jepun dan Korea Selatan ke Piala Dunia Wanita 2023.

Situasi Filipina membenarkan rakyatnya memiliki dua passport menyaksikan 19 pemain yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) dipanggil mewakili negara itu pada saingan kali ini.

Nama-nama yang dipanggil Filipina juga beraksi dalam liga berkualiti tinggi di luar negara seperti 10 pemain bersama kelab AS, dua dari Jepun dan masing-masing satu di Sepanyol, Iceland, Cyprus, Jerman serta Sweden.

Baki enam daripada 23 pemain Filipina yang dibimbing jurulatih Australia, Alen Stajcic adalah dari dua kelab tempatan iaitu Kaya-Iloilo dan DLSU Lady Booters. Berbeza pula dengan Vietnam yang menurunkan ke­semuanya produk tempatan termasuk ketua jurulatih dan barisan pemain tetapi masih berjaya meraih tempat kelima Piala Asia Wanita 2022 sekali gus layak ke Piala Dunia Wanita 2023.

Filipina dan Vietnam kini muncul pasukan ketiga Asia Tenggara yang akan beraksi di Piala Dunia selepas Thailand melakukannya dalam dua edisi berturut-turut pada 2015 dan 2019.

Thailand masih berpeluang untuk membuat penampilan ketiga kerana pasukan No. 38 dalam ranking wanita dunia itu akan merebut tiga slot terakhir pada aksi playoff antara konfe­derasi yang dijadualkan Februari tahun depan.

Bagi pemain tengah skuad wanita kebangsaan, Henrietta Justine percaya Malaysia juga mampu mengikut jejak Filipina, Vietnam dan Thailand untuk menjadi negara keempat Asia Tenggara pula ke Piala Dunia Wanita.

“Malaysia juga boleh kalau kita ada program latihan lebih kukuh dan persiapan dapat dijalankan awal. Banyakkan juga liga (wanita) di Malaysia supaya kita dapat kenal pasti lebih ramai bakat untuk skuad kebangsaan,” katanya.

Ketua jurulatih skuad wa­nita kebangsaan, Jacob Joseph mendedahkan, banyak program sedang dirangka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pelbagai agensi lain buat pembangunan bola sepak wanita tanah air.

“Tahun ini sahaja, kita ada 16 tunas akademi dan selepas ini PLD (Pusat Latihan Daerah) pula. Kita juga akan lancarkan Pelan Pembangunan Wanita dalam roadmap F:30 bulan depan.

“Bulan depan kita ada liga wanita yang dibahagikan kepada lima zon dengan format home and away. Dua terbaik setiap zon akan bermain untuk Piala Tun Sharifah Rodziah.

“Sekarang kita ada seramai 500 pemain sahaja tetapi kita nak 20,000 pemain (wanita) terlibat dalam bola sepak.

“Kita nak besarkan kumpulan pemain supaya kita dapat kenal pasti bakat-bakat baharu,” jelasnya.

Menurutnya, setiap peranca­ngan program itu bagi memastikan Malaysia layak beraksi pada Piala Dunia Wanita bawah 17 tahun dalam tempoh 8 hingga 10 tahun ke depan.

Beliau percaya sekiranya sasaran itu mampu dicapai, ia bukan lagi satu perkara mustahil untuk melihat skuad senior pula beraksi pada Piala Dunia Wanita sekali gus menjadi kuasa besar di rantau Asia Tenggara.

POPULAR

BERITA BERKAITAN