fbpx

Filem Operasi UFO bajet terhad, kualiti habis baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MULA ditayangkan sejak 5 Februari menerusi saluran Astro First, filem televisyen bertemakan komedi drama, Operasi UFO disifatkan sebuah karya yang boleh dibanggakan.

Perkara tersebut diakui sendiri pengarahnya, Khairul Anuar Mat Noor atau dikenali sebagai Abang Warna yang memaklumkan naskhah tersebut sebenarnya bajet pembikinannya sangat terhad.

“Cukup untuk dikatakan, bajet yang kami keluarkan adalah terhad dan itu bukanlah bajet sebenar untuk supertele ataupun filem. Kami tiada masalah apabila lewat ditayangkan kerana memakan masa dalam proses suntingan.

“Kebetulan juga penyunting kami mempunyai banyak projek yang perlu diselesaikan. Filem ini juga banyak kali diperbetulkan terutama dari segi muzik, gambar, ‘cutting point’ dan lain-lain lagi,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Abang Warna, bajet yang ada dimanfaatkan sebaiknya dalam menghasilkan kualiti yang bagus untuk tayangan penonton di rumah.

Pengarah filem Operasi UFO, Abang Warna (depan) bersama kru teknikal di lokasi penggambaran.

“Untuk menghasilkan naskhah yang baik dengan bajet rendah memang sangat sukar. Jika ada bajet setiap proses penggambaran akan menjadi mudah dan akan dapat hasil yang terbaik.

“Cuma apabila bajet yang terhad kita tidak boleh dapat hasil yang terlalu baik dan banyak kekangan yang timbul.

“Dengan percubaan pertama ini saya harap pada sedikit kejayaan dan dapat membuka mata ‘funder’ (pembiaya) kami agar mereka lebih yakin untuk memberi bajet yang lebih besar dalam penghasilan supertele ataupun filem,” katanya.

ANTARA barisan pelakon hebat filem televisyen, Operasi UFO yang mula ditayangkan di Astro First sejak 5 Februari lalu.

Menariknya, filem terbitan MBC Pictures Sdn. Bhd. itu turut menggunakan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sekali gus menjadikan filem sulung terbitan syarikat, boleh dibanggakan.

Abang Warna memberitahu, filem arahannya mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum mula ditayangkan.

“Penggambaran dijalankan pada bulan September 2020 dan memakan masa sedikit disebabkan proses suntingan yang menggunakan CGI. Pada masa sama, untuk kami mendapatkan kelulusan Astro First juga agak memakan masa.

“Kami menjalankan penggambaran ini selama 10 hari dan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi lain di Batu Pahat, Johor kerana kami ingin mendapatkan suasana ladang nanas di sana,” katanya.

Filem Operasi UFO dibintangi oleh Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi, Sharif ZERO, Jasmin Hamid, Lousi Alissa Chong, Rozita Che Wan, Redza Rosli, Fahrin Ahmad, Vicha, Adeline Tsen, Hairi Safwan, Laura Olivia, Munir Pak Pandir, Wan Shade dan Mulyady Rudy.

Filem berkenaan mengisahkan tentang perjalanan sekumpulan sahabat yang lari dari penderitaan di rumah orang tua dan mengejar UFO (mahkluk asing) yang menjanjikan kehidupan awet muda sepanjang zaman. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI