fbpx

Sarjan, koperal polis direman rasuah dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua anggota polis iaitu masing-masing Sarjan (bekalang) dan Koperal (depan) ketika hadir untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. /FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Dua anggota polis yang disyaki terlibat dalam rasuah bernilai RM20,000 bagi menutup kes berkaitan dokumen palsu direman selama empat hari, bermula hari ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Sabreena Bakar@Bahari bagi membantu siasatan kes tersebut selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, penangkapan kedua-dua suspek yang bertugas di sebuah balai polis di sekitar Selangor itu dilakukan antara pukul 4 dan 6 petang semalam di sebuah restoran dan sekitar Gombak.

Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati mereka yang masing-masing berpangkat Koperal dan Sarjan itu telah bertugas antara lapan bulan dan lapan tahun di balai berkenaan.

“Mereka didakwa telah meminta dan menerima rasuah daripada seorang pesara tentera berusia 50-an.

“Ini bagi menutup kes berhubung siasatan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah membabitkan wang berjumlah RM4,000,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Dalam kes berlainan, SPRM turut memperoleh perintah reman bagi tempoh sama daripada majistret sama terhadap seorang wanita yang merupakan juruwang kedai makan selepas menerima rasuah RM15,000 sebagai bayaran memproses untuk mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap seorang lelaki warga Bangladesh.

Suspek berusia 21 tahun ditangkap pukul 4 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor.

“Transaksi wang rasuah itu dipindahkan ke akaun juruwang wanita itu sebagai bayaran kepada dua lelaki tempatan dengan sebahagian wang itu akan diberikan kepada pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan proses kelulusan kad pengenalan itu,” jelas sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dengan kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a)(A) Akta SPRM 2009. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI