fbpx

KKM akan teliti tuntutan syarikat konsesi pembersihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Nuwhsas, Rodziah Mohamed Hashim (kiri) menyerahkan dokumen memorandum kepada Khairy Jamaluddin di Ibu Pejabat KKM di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan merancang pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi pembersihan hospital dalam masa terdekat untuk mengetahui lebih lanjut masalah yang dihadapi kakitangan mereka.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kebajikan kakitangan pembersihan menjadi tanggungjawab KKM walaupun mereka bekerja dengan syarikat konsesi memandangkan syarikat berkenaan juga memperolehi konsesi daripada KKM.

“Saya telah menerima satu memorandum berkenaan pekerja sokongan di hospital-hospital kerajaan yang dikendalikan oleh syarikat konsesi dan kita telah adakan satu perbincangan komprehensif di mana semua perwakilan dapat menyuarakan pandangan masing-masing.

“Kesemua tuntutan yang dibangkitkan mereka akan kita lihat satu persatu dan saya juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi bagi memahami dengan lebih mendalam isu ini,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat KKM di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan memberi sepenuh komitmen kepada tuntutan yang dibangkitkan dan mengusahakan agar kebajikan mereka sebagai petugas barisan hadapan terjaga.

“Saya akan usahakan agar kebajikan mereka sebagai pekerja barisan hadapan yang telah banyak membantu negara dalam menghadapi pandemik Covid-19 terjaga.

“Kita jangan pandang ringan pada perjuangan mereka malah saya sendiri hadir untuk bertemu selepas mereka mengharungi perjalanan lebih 500 kilometer. Saya tidak mahu hampakan mereka,” tambah beliau.

Terdahulu, seramai 25 individu yang merupakan ahli-ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (Nuwhsas) hadir ke Ibu Pejabat KKM di sini bagi bertemu dan menyerahkan sendiri memorandum tuntutan kepada Menteri Kesihatan.

Kumpulan berkenaan telah berkonvoi selama empat hari bermula 5 Februari lalu di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menempuhi perjalanan sejauh 530 kilometer untuk datang ke Ibu Pejabat KKM bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Difahamkan, antara tuntutan yang disuarakan kepada Khairy Jamaluddin adalah supaya KKM campur tangan menyelesaikan isu berbangkit yang dihadapi mereka antaranya menghapuskan sistem kontrak dan menyerap semula pekerja sokongan hospital sebagai kakitangan kerajaan.

Turut diperjuangkan Nuwhsas adalah pemberian elaun Covid-19 kepada semua pekerja sokongan di hospital kerajaan serta menghentikan pemerasan oleh majikan kepada ahli kesatuan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI