KEBELAKANGAN ini, banyak kita dengar di media sosial tentang perkongsian yang tidak benar dan kurang tepat berkaitan sesuatu perkara terutamanya membabitkan isu kesihatan dan ini menyusahkan ramai orang yang mempercayai apa yang ‘disuapkan’ kepada mereka melakui medium popular itu.
Bagi menangani perkara itu, Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah yang aktif dalam media sosial terutamanya Instagram tampil menangkis tohmahan yang dilemparkan terutamanya daripada golongan antivaksin.
Menerusi kolum Wawancara minggu ini, Dr. Rafidah menjelaskan, golongan terbabit bukan sahaja menolak vaksin, malahan menyebarkan dakyah dan mencetuskan persepsi sehingga masyarakat memandang serong terhadap vaksin, selain sengaja memainkan persepsi dan membesarkan perkara kecil.
Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawabnya untuk menyampaikan maklumat yang betul.
——————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————
KESIHATAN adalah aset penting dalam kehidupan setiap manusia.
Maka tidak hairanlah topik-topik berkaitan kesihatan sering dibincangkan terutamanya di platform media sosial pada masa kini.
Namun begitu, ada pihak tidak beretika telah menyampaikan fakta-fakta yang tidak benar tentang kesihatan sehingga mempengaruhi minda persepsi masyarakat tentang sesuatu isu.
Bagi membincangkan isu berkaitan kesihatan, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah.
KOSMO! AHAD: Semua orang maklum, Dr. begitu aktif dan lantang di laman sosial membicarakan tentang persoalan dan topik berkaitan kesihatan. Apa yang diharapkan oleh Dr. dengan penglibatan aktif itu dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan sesuatu isu yang dibangkitkan, adakah mengumpul pengikut yang ramai atau perkongsian ilmu?
DR. RAFIDAH: Saya bersuara di media sosial bukan disebabkan mahu mengumpul pengikut yang ramai. Tujuan saya adalah mahu memberikan maklumat yang benar supaya sampai kepada semua orang dan tiada niat lain.
Saya mahu masyarakat peka dan faham dengan fakta supaya mereka boleh buat keputusan dengan betul. Tidak dapat dinafikan, kini banyak fakta terutamanya berkaitan kesihatan yang tidak betul berlegar di media sosial. Ini boleh membuat masyarakat terpengaruh.
Sebolehnya, saya nak ubah persepsi itu dan mahu semua orang menyalurkan maklumat betul dan sahih.
Saya melakukan semua ini atas inisiatif sendiri tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Saya mengakui, tidak terlepas daripada menerima kutukan dan itu sedikit sebanyak membuatkan saya berasa down dan kecewa buat sementara. Tetapi ia tidak akan membuatkan saya berputus asa untuk meneruskan apa yang telah dilakukan selama ini.
Sebelum ini, Dr. pernah ‘bergaduh’ dan menerima ‘serangan’ daripada golongan anti vaksin yang tidak berpuas hati dengan posting yang dinaikkan di akaun laman sosial. Apakah tindakan mereka itu memberi semangat untuk terus berjuang menegakkan apa yang difikirkan perlu diketengahkan kepada umum?
Sebenarnya, golongan anti vaksin di Malaysia ini tidak ramai. Mereka bukan sahaja menolak vaksin, malah menyebarkan dakyah dan mencetuskan persepsi sehingga masyarakat memandang serong terhadap vaksin.
Kesan sampingan vaksin sebenarnya tidak banyak, tetapi golongan ini sengaja memainkan persepsi dan membesarkan perkara kecil.
Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk menyampaikan maklumat yang betul. Selain itu, saya mempunyai platform untuk menyampaikan maklumat dan rasa bersalah jika tidak menggunakannya.
Tugas saya menyampaikan maklumat dan terpulang kepada masyarakat sama ada untuk menerima atau tidak dan saya akan teruskan usaha ini.
Vaksin ini sebenarnya mengurangkan risiko komplikasi Covid-19 terutamanya mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti buah pinggang sehingga harus melakukan dialisis.
Pesakit saya semuanya menerima vaksin dan mereka tidak berhadapan sebarang masalah.
Memandangkan banyak pihak tidak mahu mengambil dos penggalak atau booster sebagai vaksin tambahan untuk melawan Covid-19, pada pandangan Dr., adakah pemberian dos tersebut benar-benar perlu dan berkesan?
Pada saya, dos penggalak ini amat penting dan dari segi fakta, kita tengok golongan yang berisiko amat memerlukannya.
Antibodi pesakit mungkin tidak cukup untuk dos pertama dan kedua dan mereka memerlukan dos penggalak ini.
Tidak dapat dinafikan, vaksin penggalak ada kesan sampingan, tetapi ia tidak teruk.
Jika seseorang itu berasa ada kesan sampingan vaksin, mereka digalakkan untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya.
Kita lihat banyak varian baharu muncul dan dos penggalak ini amat diperlukan untuk melawannya.
Untuk meluluskan pemberian dos penggalak ini, pihak bertanggungjawab telah melakukan kajian terperinci terlebih dahulu dan bukan dilakukan secara sembrono.
Kita bukan hanya bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semata-mata, malah kita ada buat kajian sendiri sebelum pemberian dos penggalak ini kepada umum dibenarkan.

Pada pendapat Dr., mengapa ramai yang enggan mengambil dos penggalak dan berasa cukup dengan dua dos vaksin yang diterima sebelum itu. Adakah mereka takut selepas membaca dan mendengar cerita-cerita menakutkan beberapa individu yang dikatakan mendapat kesan sampingan selepas menerimanya?
Sebenarnya ramai yang percaya dengan keberkesanan vaksin ini dan hanya segelintir sahaja yang bising dan menyebarkan dakyah tidak sepatutnya.
Selagi ada pihak yang memainkan persepsi buruk mengenai dos penggalak, akan ada pihak yang terpengaruh.
Kesan sampingan itu mungkin ada, tetapi tidak seteruk yang disangka.
Jika mendengar cerita-cerita yang tidak betul, mungkin ada orang yang berasa goyah untuk mengambilnya.
Sebenarnya, program vaksinasi sebelum ini berjaya mengurangkan kes Covid-19 dan itu dirasai oleh kami sendiri yang setiap hari menguruskan pesakit.
Malah, saya pernah ditemuramah oleh agensi berita BBC United Kingdom dan mereka mengakui, Malaysia merupakan antara negara yang berjaya melaksanakan program vaksinasi dengan baik.
Pada masa ini, ramai pengguna begitu obses dengan pengambilan suplemen yang dihasilkan oleh pengeluar produk kecantikan dan kosmetik yang dikatakan baik untuk kesihatan. Namun terdapat kes, produk tersebut menjejaskan fungsi buah pinggang dan implikasi kesihatan lain. Sebagai pakar nefrologi, apa pandangan Dr. dalam hal ini?
Statistik terkini menunjukkan pesakit buah pinggang di negara ini banyak melibatkan golongan muda.
Pesakit baharu yang memerlukan dialisis pula adalah lebih 8,000 orang setiap tahun.
Sebanyak 30 peratus daripada jumlah pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis di Malaysia adalah di bawah umur 45 tahun.
Menjelang 2040, dijangkakan pesakit yang memelukan bantuan dialisis melebihi 106,000 orang.
Kini di negara kita, kadar pesakit buah pinggang untuk semua peringkat adalah sebanyak 15.5 peratus.
Punca utama kepada masalah ini adalah disebabkan diabetes dan pada masa sama, kita dapati pengambilan produk suplemen untuk kecantikan, kurus dan lain-lain juga menjadi penyebabnya.
Berdasarkan satu kajian yang saya jalankan, lebih 70 peratus pesakit buah pinggang mengambil produk suplemen sebelum didiagnosis berdepan dengan masalah tersebut.
Oleh itu, risiko pengambilan produk suplemen ini sangat tinggi dan pakar dari luar juga menyarankan agar produk sebegini tidak diambil.
Kita tidak tahu bahan yang digunakan dalam menghasilkannya.
Sebagai contoh, produk yang ada merkuri boleh merosakkan buah pinggang. Malah, saya pernah dimarahi pemilik kilang yang menghasilkan produk sebegini.
Benarkah suplemen yang ada di luar sana benar-benar memberi impak positif terhadap kesihatan atau hanya gimik pemasaran murahan yang dikategorikan sebagai ‘sampah’, akhirnya menjadikan hidup mereka merana dalam jangka masa panjang?
Ini adalah strategi pemasaran semata-mata sehingga berlaku overclaim melampau.
Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, produk seperti ini adalah satu perniagaan.
Saya tidak kata produk ini sebagai ‘sampah’, tetapi bimbang akan kesannya kepada kesihatan.
Dari segi kesihatan, kita tidak memerlukannya. Semua ini kita boleh ambil melalui pemakanan sihat.
Sebagai contoh, jika kita memerlukan vitamin C, ia boleh diambil secara semula jadi melalui buah-buahan.
Bagi mereka yang benar-benar memerlukan produk sebegini dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu dan kemudian minta nasihat doktor tentang keperluan mengambilnya.
Jika kita salah ambil produk suplemen, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan.
Sebenarnya pesakit boleh mengambil tindakan mahkamah jika mereka mendapat masalah berpunca daripada pengambilan produk seumpama ini.
Dalam hal ini, kami sebagai pakar perubatan hanya boleh menyediakan laporan untuk dijadikan sapina di mahkamah.

Adakah penderita pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis mempunyai harapan untuk sembuh seperti sediakala dan apakah tip penjagaan dan pengambilan pemakanan terbaik untuk menjaga buah pinggang?
Bagi pesakit yang telah menjalani dialisis, salah satu cara untuk keluar daripada masalah ini adalah melalui pembedahan buah pinggang.
Pesakit yang perlu menjalani dialisis, buah pinggangnya telah kronik dan berada pada tahap lima.
Ada kes pesakit hanya mengetahui buah pinggang mereka rosak apabila harus menjalani dialisis.
Kita akan pantau selama tiga bulan dan jika tidak baik juga, itu tandanya buah pinggangnya berada pada tahap kronik.
Oleh itu, pengesanan awal kepada masalah ini amat penting bagi membolehkan kita merawatnya sebelum sampai ke tahap lima.
Kita ada ubat khas yang dapat memperlahankan masalah ini daripada menjadi teruk.
Selain itu, dengan pengesanan awal juga, kita boleh memberi nasihat kepada pesakit dari segi pengambilan ubat, senaman yang betul dan lain-lain dalam memastikan masalah ini tidak menjadi kronik.
Benarkah pendapat yang mengatakan aktiviti sukan tertentu berisiko untuk merosakkan buah pinggang untuk tempoh tertentu?
Benar, perkara ini boleh berlaku dan ia dikenali sebagai kegagalan buah pinggang akut.
Masalah ini berlaku jika seseorang itu melakukan aktiviti sukan yang memberi beban tidak sepatutnya.
Sebagai contoh, tanpa persediaan rapi dan secara mengejut seseorang itu terus menyertai larian marathon sejauh 42 kilometer boleh menyebabkan otot pecah.
Tetapi masalah ini masih boleh pulih jika kita dapat merawat puncanya.
Oleh itu, bagi mereka yang ingin melakukan sesuatu aktiviti yang menguji kemampuan diri, pastikan ada persediaan terlebih rapi terlebih dahulu.














