fbpx

Deposit Simpan SSPN catat rekod tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatat rekod tertinggi bagi deposit Simpan SSPN bagi tahun 2021 berban­ding tiga tahun sebelumnya de­ngan jumlah deposit sebanyak RM3.01 bilion.

Jumlah peningkatan sebanyak RM1.02 bilion atau 50.95 peratus berbanding deposit tahun 2020 (RM1.99 bilion) itu mencatat satu rekod baharu yang membanggakan buat badan tersebut.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN terkumpul sehingga 31 Di­sember 2021 adalah sebanyak RM10.88 bilion.

Menurutnya, terimaan depo­sit berjumlah RM3.01 bilion bagi tahun lalu merupakan 167.08 pe­ratus berbanding sasaran tahun 2021 sebanyak RM1.8 bilion.

“Terimaan ini juga merupakan 27.63 peratus daripada keseluruhan deposit yang diterima sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful menerangkan, bagi prestasi pembukaan akaun baharu Simpan SSPN pada tahun 2021 pula, sebanyak 421,281 telah dibuka berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun.

“Walaupun tahun lalu negara berhadapan dengan ­ke­­a­daan ekonomi yang tidak stabil, saya optimis bahawa tahap keseda­ran masyarakat khususnya golongan ibu bapa mengenai pentingnya memulakan penabungan dari awal sudah mula meningkat.

“Kita sudah mula berjaya, buktinya apabila deposit Simpan SSPN meningkat lebih empat kali ganda sejak saya mula memberi lebih penekanan kepada usaha ini,” jelasnya.

Tambah beliau, pada tahun 2021, PTPTN telah berjaya membantu seramai 140,977 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan berjumlah RM3.51 bilion sehingga mereka tamat belajar.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 70,412 pelajar atau 49.95 peratus adalah daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan, melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM1.95 bilion,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI