fbpx

KKM tidak tipu fakta, tiada apa hendak selindung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Rafidah berharap masyarakat membuat keputusan terbaik mengikut fakta, bukan emosi atau maklumat yang tidak sahih di media sosial

PETALING JAYA – Golongan antivaksin merupakan individu yang mempunyai pemikiran negatif dan tertutup minda terhadap pandangan orang lain sekali gus sentiasa menganggap diri mereka betul.

Menerusi perkongsian Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi, Dr. Rafidah Abdullah  di media sosial memaklumkan golongan antivaksin sering dilihat melemparkan pandangan mereka yang tidak berfakta terutamanya apabila melibatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Kami pelik, golongan antivaksin yang bermasalah dengan suntikan vaksin sering mengutuk secara beramai-ramai, langsung tiada adab.

“Mereka sering menggunakan bahasa kasar, menuduh serta mengugut petugas kesihatan,” katanya.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menipu dalam menyampaikan maklumat serta data kes mengenai jumlah jangkitan Covid-19.

“Saya sedih melihat melihat rakyat Malaysia membuat interpretasi data sesedap rasa.

“Kami tidak ada apa untuk diselindung,” ujarnya.

Tambah Rafidah, sebagai seorang petugas kesihatan, mereka bukanlah golongan yang dipaksa mengikut segala kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahupun kerajaan, tetapi menjalankan tanggungjawab demi keselamatan rakyat.

“Petugas kesihatan hanya mahu yang terbaik untuk anda.

“Kami mahu anda membuat keputusan terbaik mengikut fakta, bukan emosi atau maklumat yang tidak betul di media sosial,” katanya lagi.

Menurut Rafidah, beliau sering melihat kematian, kesengsaraan pesakit di hospital disebabkan mereka membuat keputusan mengikut emosi dan tidak menerima kebaikan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 seperti yang disarankan oleh pihak kesihatan.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mempunyai pandangan mereka tersendiri dan ada yang meluahkan persoalan tentang jumlah suntikan yang bakal mereka terima pada masa akan datang.

“Saya dah terima tiga kali suntikan vaksin Covid-19, selepas ini adakah perlu lagi untuk kami ambil dan berapa banyak lagi suntikan yang akan disarankan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan diri,” kata Khalis Nor.

“Petugas kesihatan hanya jalankan tugas terbaik untuk sama-sama bantu rakyat, bagi yang antivaksin, cukup sekadar anda tidak mengambilnya, jangan susahkan orang lain,” jelas Md. Sahar.

“Alhamdulillah Dr. saya dan keluarga dah ambil booster, terutamanya mak dan abah saya yang berisiko, kami ikhtiar,” kata Rinz. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI