BOLEHKAH terangkan kepada saya berkenaan amalan memasak bubur Asyura pada hari Asyura? Sebab saya dengar ada ustaz yang sebut amalan tersebut tidak ada sumber sahih.
JAWAPAN: HARI Asyura atau hari ke-10 bulan Muharam merupakan tarikh penting dan bersejarah kepada umat Islam. Malah pada hari tersebut juga disunatkan bagi umat Islam berpuasa bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT.
Pada hari Asyura juga terdapat pelbagai peristiwa besar yang berlaku di masa lampau seperti peristiwa penciptaan langit dan bumi, bulan dan bintang, begitu juga diciptakan pada hari Asyura al-Arasy dan al-Kursi serta syurga.
Kebiasaan adat masyarakat Melayu akan mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagih kepada golongan fakir, miskin dan masyarakat setempat. Amalan memberi makan pada hari Asyura ini menjadi satu tradisi yang sangat dituntut dan dianjurkan dalam Islam.
Amalan tradisi memasak bubur Asyura pada hari ke-10 Muharam dalam kalangan masyarakat Melayu boleh disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman.
Oleh kerana mereka dalam keadaan sangat lapar, baginda Nuh AS memerintah pengikutnya supaya menghimpunkan segala makanan yang tersisa untuk dimasak dan dijadikan makanan. Setelah selesai menghimpun dan memasaknya, lalu mereka makan sehinggalah kekenyangan.
Kisah ini dinukilkan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitabnya: “Diceritakan bahawa Nabi Nuh AS ketika kapalnya berlabuh setelah menghadapi badai pada hari Asyura, lalu
Baginda memerintahkan kepada pengikutnya, “Himpunkanlah sesiapa di antara kalian yang memiliki lebihan makan,” kemudian mereka datang membawanya, “Ini segenggam daripada kacang al-Baqila,’ iaitu kacang ful dan ini segenggam daripada kacang al-Adas dan ini beras dan ini tepung dan dan Hintha.” Lalu Baginda bersabda,
“Masaklah kesemuanya, sesungguhnya kalian sudah mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan.”
Bahkan, ia merupakan masakan pertama yang dimasak di atas muka bumi setelah kejadian taufan yang melanda muka bumi sehingga ia diambil dan dijadikan sebagai tradisi yang dilakukan pada hari Asyura sehingga ke hari ini.
Namun begitu, kisah ini tidak dapat dipastikan daripada sumber sirah yang muktabar dan sumber asalnya. Perkara ini hanya adat sesetengah masyarakat Islam seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani, kata beliau:
“Berdasarkan peristiwa ini, maka kaum muslimin mengambil bijirin sebagai makanan. Peristiwa ini juga menggambarkan bahawa masakan yang pertama dimasak di atas muka bumi ini selepas dilanda taufan. Oleh itu ia diambil sebagai adat pada setiap hari Asyura.
Sementara itu, Ibn Abd al-Barr dalam al-Istizkar bahawa dia mendengar gurunya Abu Umar Ahmad bin Abdullah berkata:
“Bahawa guru kami Abu Ibrahim Ishaq bin Ibrahim, dia mengangkat kedua-dua tangannya setiap kali turun dan bangun (takbir intiqal dalam solat) berdasarkan hadis Ibn
Umar RA dalam al-Muwatta’. Dia merupakan orang yang paling utama, paling faqih dan sahih amalannya yang pernah aku temui. Lalu aku bertanya kepada Abu Umar:
Kenapa engkau tidak mengangkat supaya aku dapat mengikuti cara engkau. Lalu Abu Umar berkata aku tidak mahu menyelisihi riwayat Ibn al-Qasim kerana majoriti dalam kalangan kita pada hari ini berpegang dengannya.” (Riwayat Ibn al-Qasim).
Berdasarkan kisah yang disebutkan Ibn Abd al-Barr di atas, dapat difahami bahawa para imam terdahulu apabila mereka mendapati sesuatu amalan yang telah lama diamalkan dalam masyarakat dan amalan tersebut tidak bercanggah dengan syarak, maka mereka akan membiarkan masyarakat terus mengamalkannya.
Walaupun terkadang mereka mempunyai amalan lain yang mempunyai sandaran dalil yang lebih kuat, tetapi mereka tidak mudah menolak serta mengancam sesuatu amalan yang telah lama dilakukan dalam kalangan masyarakat.
Namun dalam masa sama, amalan-amalan sunat yang dianjurkan oleh Baginda SAW tidak ditinggalkan, antaranya puasa pada hari Asyura yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, ketika Baginda ditanya berkenaan puasa pada hari Asyura, lalu Baginda menjawab: “Dihapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim)
Selain itu, para ulama juga telah menggalakkan pelbagai amalan lain pada hari Asyura seperti melakukan solat sunat tasbih, berpuasa, bersedekah, mengunjungi orang alim dan lain-lain.














