fbpx

Beijing perketat sekatan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUMPANG tiba di Stesen Kereta Api Timur Hangzhou, wilayah Zhejiang, timur China baru-baru ini. - AFP

SHANGHAI – Pandemik meng­halang guru sekolah di Shanghai, Chen Hainan daripada pulang ke kampung halaman untuk menyam­but Tahun Baharu Cina bersama keluarganya selama dua tahun berturut-turut.

Namun kali ini, dia bertekad pulang sekali pun berdepan kebimbangan penularan Covid-19 dan terpaksa menjalani ujian sa­ringan berulang kali.

Hainan, 30, terpaksa menja­lani ujian saringan koronavirus lima kali bagi menjamin dia dapat pulang ke kampung halamannya di wilayah Zhejiang dan kembali semula ke Shanghai.

“Saya sebenarnya tiada rancangan untuk balik kampung pada tahun ini pun. Namun, selepas sedar bahawa saya tidak pernah pulang selama dua tahun, saya nekad (untuk pulang) biar betapa sukar sekali pun,” kata wanita itu ketika bersiap sedia menaiki kereta api di sebuah stesen utama di Shanghai.

Daripada semua gangguan disebabkan oleh pandemik, halangan balik kampung untuk menyambut Tahun Baharu Cina adalah yang paling menyakitkan penduduk negara itu walaupun Beijing setakat ini berjaya me­ngawal penularan Covid-19.

Sebelum pandemik, beratus-ratus juta orang daripada segenap lapisan masyarakat ter­masuk pekerja dan pelajar ber­asak-asak memenuhi bas, kereta api serta pesawat dalam senario penghijrahan manusia terbesar di dunia dan berlaku setiap awal tahun.

Bagaimanapun, pandemik yang kali pertama muncul di bandar Wuhan pada 2020 itu menyebabkan demam balik kam­pung tidak semeriah se­perti dahulu. Pada 2020 dan 2021, jumlah rakyat China yang pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina berkurangan lebih separuh daripada kadar biasa.

Pada tahun ini juga, pihak berkuasa China sekali lagi tidak menggalakkan orang ramai balik kampung berikutan kebimbangan jangkitan varian Omicron, tambahan pula, Beijing terus melaksanakan sekatan amat ketat bagi membendung wabak Covid-19 menje­lang temasya Olimpik Musim Sejuk pada 4 hingga 20 Februari ini.

Sebilangan pentadbiran wila­yah meminta orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan pulang dengan menawarkan pelbagai insentif termasuk kewangan di samping melaksanakan hala­ngan seperti berbilang ujian sari­ngan, namun bagi sesetengah penduduk, mereka mesti pulang ke kampung pada tahun ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI