fbpx
MARZUADI telah beberapa kali ke Tasik Pedu untuk memburu toman.

Perlu pengalaman jinakkan pemangsa Tasik Pedu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI kaki pancing, toman merupakan antara spesies ikan yang sering menjadi buruan.

Marzuadi Mansor, 33, antara pemancing yang tidak terkecuali daripada obsesi itu dan dia sendiri telah meneroka banyak lokasi semata-mata untuk mencari lubuk ikan tersebut.

Tasik Pedu yang terletak di Padang Terap, Kedah antara lubuk terbaharu yang dikunjunginya semata-mata untuk memancing toman.

“Tasik Pedu kini menjadi tumpuan kaki pancing yang ingin mendapatkan toman.

“Sebelum ini tidak banyak spesies toman di tasik ini. Tetapi sejak tahun 2020 tiba-tiba tasik ini mula didiami oleh ikan ini,” jelasnya.

Hal ini berlaku mungkin disebabkan berlaku paras air yang tinggi di Empangan Gubir dan spesies toman mula berhijrah ke Tasik Pedu.

Marzuadi yang telah beberapa kali mengunjungi Tasik Pedu memberitahu, dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong apabila pergi memancing di situ.

Boleh dikatakan, secara purata setiap pemancing akan dapat menjinakkan empat hingga lima ekor toman setiap kali mengunjungi tasik tersebut.

“Toman yang paling besar saya berjaya jinakkan di tasik ini adalah seberat lapan kilogram (kg).

“Masa untuk menjinakkan toman ini kurang dua minit diperlukan,” jelasnya.

IKAN toman yang terdapat di situ bersaiz antara kira-kira dua hingga lapan kilogram.

Tambahnya, bagi kaki pancing apabila dapat bertarung dan menjinakkan toman, itu memberi satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan.

Dalam pada itu, katanya, di Tasik Pedu terdapat dua kelompok toman iaitu ibu toman dan toman bujang yang sering menjadi buruan kaki pancing.

Bagi kelompok ibu toman, saiznya lebih besar berbanding toman bujang.

“Bagi toman bujang purata beratnya adalah antara 2kg hingga 3kg, manakala bagi ibu toman pula saiznya tidak menentu dan kebiasaannya 6kg ke atas.

“Di tasik ini terdapat beberapa kawasan teluk yang menjadi lubuk kepada toman ini dan sebagai pemancing kita harus mengetahui kawasan tersebut,” jelas Marzuadi.

Sementara itu, untuk memancing di situ teknik yang sering digunakan oleh kaki pancing adalah casting. Casting merupakan salah satu teknik dalam memancing.

Melalui teknik ini, pemancing akan melontar dan mengarau gewang atau umpan berulang kali bagi menghasilkan pergerakan.

Pergerakan itu yang akan menarik perhatian ikan untuk menyambar umpan yang dilekatkan pada joran.
Sementara itu, Marzuadi menerangkan gewang yang digunakan untuk teknik casting itu adalah gewang permukaan air.

“Toman di tasik ini cukup sensitif dan marah dengan gewang permukaan air ini.

“Maka, tidak hairanlah gewang ini sering dapat menjinakkan toman di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Marzuadi menegaskan, memancing toman di Tasik Pedu juga ada cabarannya yang tersendiri.

“Tasik ini terletak di laluan angin dan air di sini tidak tenang serta sering berkocak.


TASIK Pedu di Padang Terap, Kedah antara lubuk terbaharu toman.

“Ini menyukarkan pemancing untuk melihat kawasan dihuni toman apabila air berkocak, manakala penglihatan dan pendengaran kena tajam,” bicaranya.

Selain toman, tasik itu turut mempunyai spesies ikan lain antaranya haruan, lampan, sebarau dan lain-lain lagi.

Sebelum ini ikan haruan sering menjadi buruan kaki pancing yang mengunjungi tasik tersebut.

Tetapi setelah toman mula banyak di tasik itu, kaki pancing lebih gemar untuk mendapatkannya.

Dalam pada itu, Marzuadi menerangkan, setelah ramai mengetahui terdapat banyak spesies toman di di Tasik Pedu, kawasan itu semakin mendapat perhatian kaki pancing.

“Boleh dikatakan setiap hujung minggu perkhidmatan bot yang disediakan oleh penduduk tempatan akan sentiasa penuh ditempah. Harga sewa bot untuk memancing toman di tasik ini yang disediakan oleh penduduk tempatan adalah RM300 untuk tempoh masa dari pukul 7 pagi hingga 7 malam,” jelasnya.

 

POPULAR

BERITA BERKAITAN