fbpx

Peniaga makanan, kek guna telur pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembuat kek turut memilih telur pecah ekoran kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam di pasaran.

GEORGE TOWN – Kekurangan bekalan telur ayam di pasaran memaksa segelintir peniaga pasar awam dan pengusaha kedai makan dan kek menggunakan telur ayam yang telah pecah dalam masakan mereka.

Trend pembelian itu dikatakan semakin meningkat sejak krisis bekalan bahan masakan itu awal Januari lalu.

Rata-rata peniaga terdesak dan memilih untuk mendapatkan telur pecah daripada pemborong setiap hari bagi mengatasi permintaan pelanggan.

Seorang pemborong telur ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 46, mendakwa, kekurangan bekalan yang me­landa seluruh negara pada ketika ini menyebabkan ramai peniaga terpaksa menggunakan telur ayam yang telah pecah.

Malah, permintaan terhadap telur berkenaan semakin tinggi sejak kebelakangan ini menyebabkan dia terpaksa menyim­pan stok.

“Ada peniaga di pasar awam dan pembuat kek mendakwa yang mereka kini begitu ter­desak memerlukan bekalan telur ayam sehingga sanggup membe­linya biarpun sudah pecah.

“Disebabkan mendapat permintaan yang tinggi, saya terpaksa juga menjual telur ayam dengan campuran gred A, B, C dan D pada harga serendah 24 sen sebiji.

“Keadaan kuning telur pecah ini masih segar dan sempurna, hanya kulit luarannya sahaja yang sedikit retak atau pecah,” katanya.

Untuk rekod, telur ayam gred A,B, C dan D dijual 38 sen hingga 41 sen sebiji.

 

Bekalan telur ayam mula berkurangan sejak awal bulan ini.

Ahmad menambah, telur ayam berkenaan pecah kemungkinan disebabkan susunan yang bertindan selain dibiarkan dalam tempoh lebih 24 jam.

“Tidak selalu ada telur pecah. Mereka (pelanggan) beli tak banyak pun cuma maksimum 30 bekas iaitu kira-kira sebanyak 900 biji telur yang akan dihantar setiap tiga atau empat hari sekali.

“Selalunya, peniaga di pasar awam akan menempah sebanyak 20 papan (bekas), manakala pembuat kek pula antara 10 hingga 15 papan,” ujarnya.

Berita berkaitan: Pengguna resah rak telur ayam kosong

Ceritanya, permintaan terhadap telur pecah memang ada sekalipun ketika bekalan telur mencukupi dan mudah didapati di pasaran.

Bagaimanapun jumlahnya tidak banyak dan pelanggan tetap membeli telur ayam yang masih elok dan sempurna untuk perniagaan mereka.

Berita terkaitan: Krisis telur ayam, bisnes makanan kini terjejas

Sementara itu, pemborong telur yang mahu dikenali sebagai Zul, mendakwa, bekalan telur ayam pecah memang menjadi pilihan pembuat kek meskipun stok barangan keperluan itu mencukupi.

Menurutnya, dia tidak sesekali membuang telur yang sudah pecah atau retak kerana masih mempunyai nilai pasaran sejak dahulu.

“Telur tersebut akan dikumpul setiap dua hari sekali sebelum dijual kepada peniaga kek sekiranya ada permintaan. Memang setiap hari dikatakan ada tempahan telur ayam pecah.

“Kira-kira 15 hingga 20 bekas akan dihantar ke kedai kek setiap hari dan masing-masing (peniaga kek) memperuntukan minimum lima papan telur ayam campuran gred.

“Peniaga di pasar awam juga ada membuat tempahan telur ayam pecah tetapi hanya se­minggu sekali untuk jualan kepada pelanggan mereka yang juga pembuat kek,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI