fbpx
ANAK perempuan Erynne, Medinah selamat menjalani pembedahan buah pinggang selama empat jam dan kini dalam fasa pemulihan.

Derita buah pinggang, anak Erynne Erynna selamat dibedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon Erynne Erynna memanjat kesyukuran selepas anak perempuannya yang mengalami masalah buah pinggang selamat menjalani pembedahan.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Erynne memberitahu, prosedur pembedahan tersebut memakan masa selama empat jam.

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Selepas empat jam selesai juga pembedahan Medinah dengan selamat dan jayanya.

“Subhanallah. Terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang bertungkus-lumus membantu Medinah,” tulisnya.

Dalam pada itu, Erynne turut memaklumkan anaknya itu kini akan beralih ke fasa pemulihan pula selepas ini.

“Sungguh setiap fasa peritnya berbeza tapi syukur semuanya baik-baik sahaja.

“Sekarang Medinah harus tempuhi proses untuk pulih pula. Saya berdoa agar Medinah cepat dan baik semuanya, insya-Allah,” kongsinya lagi.

Pasa kesempatan sama, pelakon itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan menitipkan doa buat anaknya itu.

“Terima kasih kepada seluruh ahli keluarga kami, sahabat dan semua yang mendoakan Medinah.

“Sangatlah kami hargai dan kami juga doa yang baik-baik buat semua. Sayang daripada kami sekeluarga,” katanya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti turut tumpang gembira selain mendoakan semoga anaknya itu dapat kembali pulih seperti sedia kala.

“Moga dipermudahkan segalanya buat Medinah dan dikurniakan kesihatan yang lebih baik. Cepat sembuh dan sihat seperti sedia kala sayang,” tulis netizen.

Terdahulu, pelakon drama Nasi Kerabu Untuk Che Abah itu memaklumkan anak sulungnya menderita penyakit duplex kidney dan harus segera menjalani pembedahan.

Untuk rekod, Erynne dan suaminya Afify Sazali mendirikan rumah tangga pada 17 April 2019.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang dilahirkan pada 9 Ogos 2020. – K! ONLINE

POPULAR