fbpx
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, Washington mengemukakan usul ‘laluan diplomatik serius’ bagi mengakhiri konfrontasi Ukraine. - AFP

AS tolak tuntutan Rusia larang Ukraine sertai NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON  –  Amerika Syarikat(AS) kelmarin menolak tuntutan  Rusia untuk menyekat Ukraine daripada menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menyatakan bahawa Washington percaya Moscow bersedia untuk menyerang, lapor akhbar Bangkok Post.

Setiausaha Negara AS,  Antony Blinken berkata, Washington  sebaliknya, mengemukakan usul ‘laluan diplomatik serius’ bagi mengakhiri konfrontasi Ukraine dalam sepucuk surat persendirian kepada kerajaan Rusia.

“Kami jelas menyatakan  bahawa terdapat prinsip-prinsip asas yang kami perjuangkan  dan pertahan termasuk kedaulatan dan integriti  wilayah Ukraine serta hak negara berkenaan  untuk memilih aturan keselamatan dan perikatannya sendiri,” kata Blinken.

Blinken berkata demikian ketika bercakap kepada media sejurus selepas timbalannya, Wendy Sherman berkata, AS yakin Putin akan menggunakan kekerasan ke atas Ukraine menjelang pertengahan  Februari ini.

Tegas Blinken, Kiev boleh memilih sekutunya sendiri sekali gus menolak tuntutan Moscow untuk janji bahawa Ukraine tidak akan dibenarkan menyertai perikatan NATO.

“Surat itu akan didedahkan kepada umum,” kata Blinken kepada pemberita.

Menurut Blinken, beliau akan bercakap dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dalam masa beberapa hari lagi berhubung tindak balas Moscow terhadap pendirian AS tersebut.

Surat tersebut yang diselaraskan dengan pendirian Kiev dan sekutu-sekutu AS di Eropah, turut membuka pintu mengenai rundingan kawalan senjata bersama Rusia melibatkan isu seperti penempatan peluru berpandu strategik dan senjata nuklear yang ditempatkan di Eropah. 

Sementara itu, perwakilan dari Moscow dan Kiev  komited kepada gencatan senjata rapuh di timur Ukraine semasa rundingan di Paris  kelmarin dan bersetuju untuk meneruskan perbincangan ketika wujud kebimbangan Rusia akan menyerang negara jirannya itu.

Seorang diplomat Perancis berkata, rundingan selama lebih lapan jam yang ditaja oleh Perancis dan Jerman itu memberikan ‘isyarat baik’.

“Mengambil kira situasi semasa, kami menerima petanda yang baik,” katanya.

Sumber kerajaan Jerman kemudian mengesahkan bahawa pusingan kedua rundingan antara kedua-dua belah pihak akan berlangsung di Berlin pada minggu kedua Februari ini.

Bagaimanapun, seorang penasihat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, rundingan Kiev-Moscow itu bertujuan untuk menghentikan pertempuran antara pemberontak dan tentera kerajaan di timur Ukraine yang berlarutan sejak 2014 dan bukannya mengenai ancaman pencerobohan Rusia. – AFP 

 

POPULAR