fbpx
AIDIL mengakui disiplin dan keperibadian Fasha yang disenangi ramai meninggalkan impak dalam rutin kehidupan hariannya.

Fasha Sandha sumber inspirasi Aidil Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon Aidil Aziz mengakui kehadiran Fasha Sandha dalam hidupnya menjadi sumber inspirasi untuk berubah sebagai insan yang lebih baik.

Katanya, keperibadian, sikap menepati masa dan mudah bergaul dengan semua orang terutama sepanjang bekerja di set penggambaran turut memberi kesan dalam rutin hariannya.

“Isteri saya memang seorang anak seni yang sangat komited dan berdisiplin sejak dulu lagi hingga secara tidak langsung saya pun terikut amalan positifnya.

“Bagi saya disiplin adalah perkara pertama yang kena dijaga kerana dari situ produksi dan pelakon lain tahu kita serius dalam bekerja sekali gus tidak mungkin mahu menyusahkan orang lain,” katanya pada sesi sidang media drama bersiri Tumpang Lalu Bang.

Pelakon drama Camelia itu juga berpendapat sifat ramah yang diamalkan oleh isterinya berjaya mewujudkan hubungan baik antara pelakon dan kru produksi di lokasi penggambaran.

“Dua lagi elemen utama yang sama penting adalah kualiti lakonan serta hubungan kita di set sama ada dengan pengarah, pelakon mahu pun kru belakang tabir.

“Jadi saya cuba mempertingkatkan diri ke arah yang lebih baik. Apabila dikurniakan isteri yang sangat baik, saya perlu jadi lebih lagi dan ini juga antara sebab saya masih bertahan dalam dunia seni.

“Kita berlakon bagus macam mana pun tapi kalau tak jaga masa atau pelihara hubungan baik dengan kawan sekerja termasuk kru memang kita tak ke mana,” katanya lagi.

Dalam drama 28 episod itu Aidil, 34, membawakan watak anak sulung atau Abang Long kepada lima lagi adik beradiknya termasuk adik bongsu yang juga anak tunggal perempuan, Sofiah lakonan Kilafairy.

Mengenai watak Sufian yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat, katanya dia teruja membawakan peranan seorang lelaki yang jauh berbeza dengan karektor dirinya.

“Bagi menyerlahkan karektor CEO, saya kena nampak lebih matang. Abang Long digambarkan tak garang, cuma tegas selain paling bagi muka kepada adik-adiknya.

“Boleh dikatakan dia paling cool berbanding empat adik lelakinya yang lain sebab masih bagi lampu hijau kepada Sofiah bercinta dengan Nizam.

“Watak dan perwatakan Sufian itu sendiri penuh warna. Itu yang buat saya teruja. Sebelum ini pun saya pernah bergandingan dengan Kilafairy, cuma kali ini lain kerana dia jadi adik.

“Komitmen pelakon lain pun bagus sekali gus melancarkan lagi kerja penggambaran sampai tak sedar kami sudah berada di lokasi ini sejak November tahun lalu,” kata anak kedua dalam keluarga itu.

Selain Aidil dan Kilafairy, drama yang bakal bersiaran di slot Diandra bermula 2 Februari ini turut membariskan Ziana Zain, Tomok, Raja Afiq, Black dan Qi Razali.

Dedah aktor itu lagi, suasana di lokasi penggambaran sangat menyeronokkan kerana turut disertai tiga penyanyi hebat termasuk Ziana yang membuatkan setiap saat terisi.

“Sebenarnya tugasan untuk kerja penggambaran masih berlangsung sampai bulan depan. Ada tiga minggu lagi untuk kami menyempurnakan naskah ini.

“Apa pun kami saling membantu selain sudah macam adik beradik betul. Bonus sebab boleh minta Kak Ziana, Tomok atau Black nyanyi live kalau ada waktu senggang.

“Kak Ziana pula jadi mak kami dalam drama ini. Memang gamat berdepan telatah masing-masing terutama Black yang kuat menyakat, jadi dapat bayangkan macam mana kaletah mereka dalam Tumpang Lalu Bang,” katanya lagi.

Terdahulu, rumahtangga Aidil bersama Fasha diserikan kehadiran Aisha Amaira yang kini berusia 17 bulan selain dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu isterinya, Putra Rayfal Ramli, 9, dan Putri Raysha Jemima, 8 tahun. – K! ONLINE

POPULAR