fbpx

Kutipan hasil kastam cecah RM42.50 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tahun 2021 mencecah RM42.50 bilion, melepasi sasaran awal iaitu RM40 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tahun 2021 juga telah menyerlahkan keunggulan sektor penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan 16 tan bahan terlarang itu bernilai RM5.2 bilion.

“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih walaupun masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Hari Kastam Sedunia kali ke-40 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Dalam pada itu, beliau berkata, tema ‘Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data’ sempena Hari Kastam Sedunia pada tahun ini adalah amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM.

“Tema itu juga mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

“Malah perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat merupakan platform yang penting dan telah diaplikasikan secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam terutamanya dalam mendepani pandemik Covid- 19,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, JKDM perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI