fbpx

Najib pohon tempoh masa pendengaran rayuan akhirnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kepada Ketua Hakim Negara untuk mempertimbangan permohonannya supaya diberikan satu tempoh masa yang wajar untuk mendengar rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana hasrat beliau untuk menggunakan khidmat peguam Diraja (Queen’s Counsel) dari United Kingdom (UK)  bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes dana SRC International Sdn. Bhd. kerana rayuan itu membabitkan isu dan persoalan perundangan yang kompleks.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, khidmat peguam itu (Queen’s Counsel) atau QC diperlukan kerana ia membabitkan persoalan perundangan baharu di negara ini dan negara Komanwel selain memerlukan nasihat kepakaran QC untuk menangani isu berkenaan.

Justeru Muhammad Shafee berkata pihaknya memerlukan masa untuk membekalkan rekod rayuan kepada QC di London, selepas menerimanya daripada mahkamah rayuan.

Menurutnya, oleh kerana kebanyakan dokumen adalah bahasa Malaysia, pihaknya memerlukan dokumen yang kritikal diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris bagi membolehkan memberikan taklimat kepada QC secara fizikal.

“Berdasarkan alasan itu, kami dengan memohon pertimbangan baik Yang Arif (Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bagi suatu tempoh wajar untuk mendengar rayuan utama dan rayuan bukti tambahan dengan jurang masa yang ketara antara keduanya.

“Kami sememangnya percaya bahawa dengan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan ini akan menyebabkan prejudis kepada perayu (Najib) terutamanya dengan mengambil kira bahawa ini adalah rayuan terakhir,” katanya.

Tambahnya, anak guamnya perlu diberi masa yang mencukupi untuk membuat persediaan dan bukannya rayuan itu dipercepatkan.

Muhammad Shafee berkata demikian dalam suratnya yang dialamatkan kepada Setiausaha Tun Tengku Maimun bertarikh hari ini bagi memohon pertimbangan supaya diberikan suatu tempoh masa yang wajar untuk mendengar rayuan akhir Najib.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media memaklumkan pihak pendakwaan menerima sesalinan surat itu melalui emel pada petang hari ini.

Melalui surat itu, Muhammad Shafee berkata pihaknya tidak merasakan bahawa tarikh pendengaran boleh dilaksanakan pada bulan April, Mei atau Jun.

Namun pendengaran rayuan bagi memasukkan bukti tambahan boleh dipersetujui pada tarikh yang sudah ditetapkan iaitu pada 15 dan 16 Mac ini.

Peguam itu berkata, pada pengurusan kes semalam, pihak-pihak dimaklumkan oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah itu berhasrat untuk menetapkan tarikh pendengaran penuh rayuan terbabit seawal bulan Mac ini.

Muhammad Shafee berkata, beliau memaklumkan bahawa ia tidak mungkin bagi pihaknya kerana ia hanya kurang daripada dua bulan selepas mahkamah rayuan memberikan keputusan.

Katanya pihak-pihak belum lagi menerima rekod rayuan dan mengambil maklum bahawa ia terdiri daripada dokumen yang sangat banyak dengan mengambil kira rekod daripada mahkamah tinggi ke mahkamah rayuan sahaja terdiri daripada 121 ikatan dokumen.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan mempunyai bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI