PETALING JAYA – Golongan isteri yang menjadi kambing hitam apabila nama mereka digunakan untuk membuat pinjaman bank oleh suami boleh membuat tuntutan hutang perkahwinan di mahkamah syariah jika berlaku perceraian.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, wanita penjawat awam dinasihatkan supaya menyimpan semua bukti-bukti permohonan, transaksi, bayaran dan sebagainya supaya mudah jika membuat tuntutan.

Katanya, dokumen-dokumen tersebut boleh dijadikan sebagai salah satu sandaran untuk isteri memohon perceraian secara fasakh di mahkamah syariah.
“Jika terdapat bukti kukuh, mahkamah boleh memfasakhkan pernikahan. Isteri juga boleh membuat tuntutan untuk mendapatkan semula jumlah pinjaman tersebut daripada suami melalui tuntutan hutang perkahwinan.
“Ini kerana, beban pembuktian terletak kepada pihak yang membuat tuntutan (isteri) dan sebab itu penting untuk menyimpan segala bukti. Ada juga kes pinjaman yang dibuat sudah lama dan segala dokumen dan resit sudah tiada,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Tambahnya, tuntutan selalunya berlaku apabila pasangan berbalah ketika dalam proses perceraian atau selepasnya.
Menurut Musa, antara punca pasangan membuat pinjaman ialah terdesak untuk menampung perbelanjaan keluarga, bayar ansuran atau sewa rumah, hutang kenderaan, bayaran bil utiliti dan sebagainya.
“Ada juga suami yang berhasrat untuk memulakan perniagaan tetapi perniagaan tidak berlaku atau gagal disebabkan tiada kesungguhan dan kurang ilmu berniaga,” katanya. -K! ONLINE















