fbpx

Pas Johor harap tiada PRN, namun tetap bersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Pas Johor kekal dengan pendirian bahawa tiada keperluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam waktu terdekat ini namun pihaknya tetap bersedia berdepan kemungkinan tersebut.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, hal itu kerana beliau menyedari kedudukan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, Pas Pusat dan Pas Johor sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa yang sedang berlaku di negeri selatan tanah air ketika ini.

“Pas Johor melihat bahawa tiada mana-mana pihak yang mahukan PRN Johor diadakan, sama ada parti-parti dalam kerajaan mahupun parti-parti pembangkang di negeri ini.

“Kami masih kekal dengan pandangan bahawa PRN Johor bukan keperluan diadakan ketika ini walaupun diakui kerajaan Johor pimpinan Datuk Ir. Hasni Mohammad hanya berkelebihan satu kerusi DUN sahaja.

“Namun dalam masa yang sama, Pas Johor sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akan berlakunya PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdullah lagi, sekiranya PRN Johor tetap diadakan, pihaknya kekal mengharap kerjasama bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) akan dapat diteruskan seperti mana kerjasama antara pihaknya bersama UMNO Johor sebelum ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI