fbpx

Tempoh mencabar buat pasaran saham domestik, syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tahun 2022 dianggap sebagai tempoh yang lebih mencabar buat pasaran saham domestik dan patuh syariah, berikutan potensi cabaran dari segi polisi, perolehan korporat yang disebabkan cukai baharu dan risiko politik.

Ketua Penyelidik Malaysia, CGS-CIMB Securities, Ivy Ng berkata, pasaran tempatan bagaimanapun akan disokong unjuran pertumbuhan ekonomi, kadar vaksinasi yang tinggi dan lebihan kecairan bagi dana ­institusi gergasi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran penamatan kebenaran pengeluaran secara one-off.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan pelabur akan le­bih berhati-hati untuk memasuki pasaran tahun ini dengan risiko gangguan varian Omicron, kos transaksi lebih tinggi untuk dagangan saham dan pelaksanaan Cukai Makmur.

“Terdapat juga ketidaktentuan politik dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan tahun ini kekal tinggi ketika pandemik dilihat semakin terkawal dan semua ini mampu menjejaskan sentimen pasaran.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan ketidaktentuan pasaran sepanjang tahun ini, ketika pelarasan semula sedang berlaku pasca Covid-19,” katanya ketika membentangkan Unjuran Pasaran Ekuiti Shariah 2022 semalam.

Ia sebahagian daripada Sesi Perbualan Korporat Pelaburan Syariah 2022 yang diadakan secara maya, anjuran Bursa Malaysia dan CGS-CIMB.

Menurut Ng, pihaknya me­nyasarkan FBM KLCI pada paras 1,612 mata pada akhir tahun, serta meletakkan Bank Islam, Inari-Amerton dan QL Resources sebagai tiga saham patuh syariah pilihan.

“Bank Islam bakal mendapat manfaat daripada kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara yang dijangka berlaku tahun ini, manakala Inari daripada sektor teknologi memperoleh manfaat daripada kadar penembusan rangkaian 5G yang semakin me­ningkat.

“Dalam sektor pengguna, QL Resources pula mendapat faedah daripada permintaan terpendam pengguna dan jangkaan pemulihan perbelanjaan pengguna pada separuh tahun pertama 2022,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI