fbpx
Kajian menunjukkan bahawa 78 peratus pekerja yang bekerja empat hari seminggu adalah lebih gembira dan kurang tertekan. – Getty

Britain laksana program percubaan kerja empat hari seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Syarikat-syarikat di Britain mengambil bahagian dalam program percubaan bagi melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu dengan pekerja masih menerima gaji penuh untuk sebulan, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Beberapa negara telah berjaya melakukan percubaan sistem bekerja tersebut dalam tempoh enam tahun lepas dan kini, Britain mahu melaksanakan langkah serupa.

“Lebih 30 syarikat akan mengambil bahagian dalam kempen cara bekerja baharu yang lebih berani ini,” kata beberapa penganalisis.

Kajian baharu menunjukkan bahawa 78 peratus pekerja yang bekerja empat hari seminggu adalah lebih gembira dan kurang tertekan.

Menerusi kempen percubaan selama enam bulan itu, firma-firma terlibat akan menilai sama ada pekerja boleh melaksanakan produktiviti 100 peratus atau 80 peratus.

Program perintis itu diketuai oleh 4 Day Week Global dengan kerjasama firma pemikir Autonomy,  kempen 4 Day Week UK dan kumpulan  penyelidik dari Universiti Oxford, Kolej Boston serta Universiti Cambridge.

Pengurus Program Perintis  4 Day Week Global, Joe O’Connor berkata, lebih banyak syarikat bertukar kepada strategi yang memberi penekanan terhadap produktiviti bagi membolehkan mereka mengurangkan waktu bekerja tanpa menurunkan gaji.

“Kami teruja melihatkan momentum meningkat dan minat kepada program perintis ini serta sistem bekerja empat hari seminggu secara menyeluruh.

“Sistem ini mencabar model bekerja sedia ada serta membantu syarikat-syarikat bertukar kepada polisi bekerja yang memantau tempoh masa seseorang pekerja berada di pejabat, bagi memberi fokus kepada pengeluaran,” katanya.

Sebelum ini, respons luar biasa telah diterima dalam kempen percubaan sistem bekerja empat hari seminggu di Iceland pada 2015 hingga 2019.

Berdasarkan percubaan tersebut, pekerja didapati kurang tertekan dan mempunyai gaya hidup  seimbang, selain majikan mendapati bahawa tiada pengurangan dari segi produktiviti atau penyediaan perkhidmatan. – AGENSI 

POPULAR