fbpx

Abang Abdul Azeez lepas, bebas tuduhan subahat rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan abang kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji daripada dua tuduhan bersubahat dengan adiknya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung kes rasuah bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya, hampir empat tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 63, berhubung dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya itu.

Ketika membacakan keputusan, hakim Collin memberitahu, Seksyen 254(3) Kanun Tatacara memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam melepas dan membebaskan seseorang individu daripada pertuduhan.

“Selepas meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati alasan yang diberikan oleh pendakwaan tidak mempunyai sebarang merit.

“Selain itu, alasan responden (pendakwaan) bahawa pemohon akan didakwa semula di mahkamah sekiranya terdapat perkembangan terbaharu dalam kes tersebut. Alasan ini tidak boleh dianggap sebagai alasan munasabah untuk memberikan keputusan melepaskan tanpa dibebaskan kepada pemohon.

“Tiada sebarang petunjuk oleh pendakwaan bila perkara ini (didakwa semula) akan berlaku dan ini boleh menyebabkan pemohon sentiasa berada dalam tanda tanya,” kata hakim itu.

Dalam prosiding hari ini Abdul Latif diwakili peguam bela, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab. Razak.

Pada 16 Januari 2019, Abdul Latif yang merupakan abang kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta.

Rasuah itu didakwa diterima daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pada 8 Februari 2021, Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berhubung kes rasuah bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya, hampir lima tahun lalu.

Pada September 2021, Abdul Latif memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 6 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan selepas mendengar rayuan Abdul Azeez berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan yang dihadapinya.

Tarikh untuk keputusan rayuan itu masih belum ditetapkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI