fbpx
AKIBAT disantau, Elly sering mengalami muntah berdarah berwarna hitam. – GAMBAR HIASAN

Disantau akibat tolak cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam hidup ini, kita perlu berhati-hati dalam setiap apa yang kita buat dan lafazkan kerana dikhuatiri ada pihak tersinggung dan terasa hati.

Lebih parah, mereka akan berbuat sesuatu yang diluar dugaan dengan menghantar ilmu hitam seperti santau dan sebagainya bagi membuatkan kita jatuh sakit.

Perkara itu berlaku kepada seorang gadis yang menolak cinta seorang lelaki, tanpa mengetahui ia menyebabkan pemuda tersebut sakit hati dengan kata-kata sindiran yang dilemparkan dan bertemu bomoh untuk menghantar santau.
—————————————————————————————————————————-
DIKURNIAKAN rupa paras yang cantik membolehkan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Elly mendapat perhatian ramai.

Elly sendiri tidak dapat mengelak apabila ramai lelaki yang cuba mendekatinya dan mahu menjadikannya pasangan mereka.

Kerana kecantikan yang dimilikinya juga, dia menderita hampir dua tahun akibat disantau oleh seorang lelaki yang dikenalinya sejak di bangku sekolah.

“Tidak dapat dinafikan lelaki ini menaruh perasaan kepada saya sejak zaman persekolahan.

“Kawan-kawan sekolah saya yang lain mengetahui bahawa dia memang suka kepada saya. Tetapi saya tidak ada perasaan kepadanya dan hanya melayaninya seperti rakan yang lain,” katanya kepada Panorama.

Tambahnya, selepas tamat persekolahan mereka semua membawa diri masing-masing. Namun, dalam masa sama, lelaki itu masih terus menghantar mesej atau kiriman WhatsApp kepada Elly.

Ada masanya ketika kebosanan, dia akan membalas dan bersembang dengan lelaki itu di aplikasi WhatsApp.

Sehinggalah pada suatu hari rakannya itu mengajaknya keluar untuk makan bersama.

“Saya tidak menolak permintaannya kerana dia ingin belanja saya makan.

“Sebenarnya pada pertemuan itu, dia ada meluahkan perasaannya kepada saya. Saya memang tiada perasaan kepadanya lantas saya terus menolak cintanya,” ujar Elly.

Selepas kejadian itu, lelaki tersebut telah berhenti menghubungi Elly.

Tidak lama selepas itu, Elly merasakan perubahan pada dirinya. Dia tidak dapat tidur malam seperti biasa.

Ada ketikanya dia tidak tidur semalaman dan hatinya sering gelisah serta badannya terasa sakit seperti dicucuk benda yang tajam.

PERBUATAN santau lazim dilakukan oleh individu yang berdendam. – GAMBAR HIASAN

“Selain itu, saya juga sering mengalami muntah berdarah yang berwarna hitam.

“Anehnya setelah dirujuk kepada doktor, doktor memberitahu saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan,” jelasnya.

Tambah menggusarkannya, berat badannya hilang dengan mendadak dan Elly kelihatan kurus berbanding sebelumnya.

Keluarga Elly kemudian mengambil keputusan untuk merawatnya dengan menggunakan cara tradisional iaitun pergi berjumpa bomoh.

“Bomoh yang saya temui itu mengatakan bahawa saya terkena buatan orang. Ada orang yang menghantar santau kepada saya.

“Santau yang dihantar kepada saya itu juga amat kuat dan bomoh memerlukan rawatan yang lebih lama untuk merawatnya,” kata Elly.

Elly berkata, bomoh tersebut juga memberi petunjuk tetapi tidak memberitahu dengan jelas perilaku orang yang menghantar santau kepadanya.

Namun, daripada petunjuk diberikan oleh bomoh itu, Elly dapat meneka bahawa santau itu dihantar oleh rakan lelaki yang pernah meluahkan perasaan kepadanya.

Selepas itu, Elly mengambil keputusan untuk mengirim pesanan WhatsApp dan bertanya kepada rakan lelakinya itu kenapa sanggup berbuat demikian kepadanya.

Lelaki itu menjawab, dia mengakui berbuat demikian bukan kerana Elly menolak cintanya tetapi kerana hatinya berasa begitu sakit apabila mendengar ungkapan kata yang Elly lemparkan kepadanya semasa menolak cintanya pada hari itu.

ELLY telah menolak cinta seorang lelaki yang menaruh hati kepadanya sejak zaman persekolahan.
– GAMBAR HIASAN

Akhirnya Elly sedar bahawa ungkapan yang diucapkan olehnya sekadar untuk bergurau telah memberi rasa sakit yang mendalam kepada rakannya itu.

“Pergi kencing di dalam satu bekas dan kemudian lihat muka kamu dekat situ terlebih dulu,” itulah ungkapan hinaan yang Elly katakan kepada lelaki itu.

Elly tidak menyangka bahawa rakannya begitu terkesan dengan kata-katanya itu.
Elly kemudiannya memohon maaf kepada lelaki itu atas keterlanjuran katanya.

“Saya meminta dia untuk menarik kembali santau yang dihantar kepada saya tetapi dia enggan memberi sebarang jawapan kepada saya,” ulasnya.

Akhirnya, apa yang boleh dilakukan oleh Elly adalah meneruskan berubat bagi menghilangkan masalah santau tersebut.

Elly telah pergi bertemu ramai pengamal perubatan dan telah banyak duit dihabiskan oleh keluarganya semata-mata untuk merawatnya.

Akhirnya, secara perlahan Elly beransur pulih daripada santau tersebut.

Sejak daripada peristiwa itu, Elly lebih berhati-hati dalam percakapannya dan dia sesekali tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN