fbpx

Nasi dagang tular tutup kekang Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana orang ramai membanjiri gerai nasi dagang adi beradik di Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam. FOTO: Facebook Rizal Hakimm Punyer

KUALA SELANGOR – Penutupan sementara waktu gerai nasi dagang adik beradik yang tular di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam di sini tidak mendapat tekanan dari sebarang pihak sebaliknya adalah inisiatif dalam mengekang penularan Covid-19 ketika ini.

Peniaga tersebut, Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43 berkata, ini susulan pihaknya tidak dapat mengawal limpahan pelanggan yang datang ke gerai tersebut selepas tular sebelum ini.

“Nasi Dagang Adik Beradik, Rezki Roda, Alam Perdana ditutup buat sementara waktu atas inisiatif kami sendiri untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pelanggan.

“Pihak kami tidak dapat mengawal limpahan pelanggan yang datang. Dalam masa yang sama, kami dalam proses untuk mencari lokasi perniagaan yang baru dan proses dokumentasi dengan pihak berkuasa tempatan.

“Berharap doa daripada semuanya agar proses ini berjalan dengan lancar dengan sebarang info akan dihebahkan melalui facebook ‘Nizam Munk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! menerusi pesanan aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang Terengganu turut menegaskan, penutupan sementara perniagaannya itu tidak mendapat sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Ketika ditanya Kosmo! sama ada akan berniaga di lokasi sama atau sebaliknya, Muhammad Khairul Nizam menegaskan perkara itu belum diputuskan lagi.

“Belum ada (berniaga di lokasi sama atau tempat lain), atas rasa tanggungjawab saya sendiri untuk mengekang penularan Covid-19 sekarang ini,” jelasnya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penutupan dan meminta peniaga berkenaan memohon lesen dengan pihaknya.

Terdahulu tular berhubung penutupan perniagaan nasi dagang tular berkenaan sehingga tarikh dimaklumkan kelak susulan tidak dibenarkan lagi beroperasi di tapak asal atas sebab-sebab tertentu selain dalam proses mencari lokasi perniagaan yang baharu.

Sebelum ini, Muhammad Khairul Nizam tidak menang tangan apabila perniagaan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu selepas video dokumentari berdurasi 10 memaparkan kisah perniagaan tular di Facebook. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI