fbpx
Saipolyazan (kanan) menyampaikan bantuan kepada asnaf Orang Kelainan Upaya, Sewah Samidjo di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, hari ini.

Asnaf Selangor meningkat 72,000 akibat banjir, moratorium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan pertambahan asnaf fakir miskin pada tahun ini mencecah 72,000 termasuk akibat bencana banjir dan moratorium.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusop berkata, mengikut rekod ketika ini mendapati jumlah asnaf yang berdaftar adalah 65,000.

Selain itu, katanya, rekod menunjukkan 15,000 adalah miskin sementara susulan akibat pandemik dan moratorium yang telah tamat dengan dibantu menerusi kategori asnaf gharim.

“Kita bersyukur kerana kutipan zakat berakhir tahun lalu dianggarkan RM1 bilion melebihi jangkaan RM900 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau bancian dan semakan rumah mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong, di sini.

Beliau memberitahu, berdasarkan bancian dilakukan pihaknya menunjukkan sebanyak 32 buah mangsa banjir perlu melalui proses pembinaan semula manakala 150 buah rumah harus dibaiki yang terdiri daripada asnaf dan fakir miskin yang berdaftar dengannya.

Ujarnya, kesemua mangsa asnaf itu akan ditempatkan di rumah sewa yang ditanggungi LZS sepanjang tempoh pembinaan dan baik pulih itu.

“Kita akan memperuntukan keseluruhan RM93,000 bagi kerja-kerja pembinaan dan rumah yang perlu dibaiki maksimum RM31,500 mengikut kerosakan.

“Di samping itu, kira-kira 30,000 permohonan bantuan LZS Peduli untuk mangsa banjir telah diluluskan dengan menerima RM600 secara one-off sejak 28 Disember lalu. Permohonan fasa kedua masih dibuka sehingga 31 Januari ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai keadaan Kampung Bukit Lanchong, Saipolyazan menegaskan sebanyak sebuah rumah asnaf perlu dibina semula manakala 24 lagi bagi tujuan baik pulih.

“Hasil bancian awal turut mendapati 50 buah rumah turut terjejas dan akan dilakukan pemeriksaan sama ada layak dikategorikan sebagai asnaf. Sekiranya tidak, maklumat mereka akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk tindakan susulan.

“Taksiran akan dilakukan sehingga minggu ketiga bulan ini dengan proses pelaksanaan pembinaan dan pembaikan akan dimulakan Februari depan sehingga siap,” katanya. -K!ONLINE

POPULAR