fbpx
TERDAPAT mangsa banjir mengalami trauma dan stres selepas kediaman dan harta benda mereka musnah akibat bencana alam itu.- Gambar hiasan

Bantu pulih emosi mangsa banjir, elak diserang PTSD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali tiba musim tengkujuh, penduduk di negeri-negeri di sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk berhadapan dengan bencana alam khususnya banjir.

Bagi Nurjuliana Md. Noor, 38, yang berasal dari Kampung Paya Kecil Hulu, Temerloh, Pahang seperti sudah lali dengan kejadian banjir yang berlaku di kampungnya itu, apatah lagi kawasan tapak rumah keluarganya terletak di kawasan rendah yang mudah dinaiki air.

Namun, kejadian banjir yang berlaku pada 20 Disember lalu disifatkan antara yang terburuk pernah dialami keluarganya sejak mereka tinggal di rumah itu lebih 40 tahun lalu.

“Kebetulan saya balik ke kampung untuk ziarah keluarga sempena cuti sekolah dan tak sangka rumah keluarga saya tenggelam dalam banjir.

“Walaupun kami sudah bersedia awal dengan meletakkan perabot dan peralatan elektrik di tempat yang tinggi selepas melihat air mula masuk ke pekarangan rumah, tetapi kami tidak sangka air naik begitu tinggi kali ini.

“Selepas lima hari, barulah air surut dan ketika itu, luluh hati ibu bapa saya apabila melihat sebahagian besar barangan rosak ditenggelami air walaupun diletakkan di tempat tinggi,” katanya yang bekerja di Pulau Pinang.

NORJULIANA

Kata Nurjuliana, rumah keluarganya pernah dinaiki air banjir melebihi paras pinggang sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1998 yang mencecah ketinggian 1.5 meter, 2007 (2.5 meter), 2014 (3 meter), Januari 2021 (2 meter) dan yang terbaharu 3 meter.

Tambahnya, walaupun kedua-dua ibu bapanya pasrah dengan apa yang berlaku, namun dia mengakui, kejadian banjir yang kerap berlaku itu membuatkan mereka ‘letih’, selain mengganggu emosi, terutamanya apabila memikirkan kerugian terpaksa ditanggung setiap kali berlaku kerosakan harta benda akibat bencana alam tersebut.

Pada 18 Disember lalu, beberapa kawasan di seluruh negara dilanda banjir apabila hujan lebat tanpa henti sejak sehari sebelumnya, menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Sehingga 21 Disember, seramai 71,876 mangsa banjir daripada tujuh negeri telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dengan negeri Pahang merupakan antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir, diikuti beberapa kawasan di Selangor termasuk Taman Sri Muda di Shah Alam dan sekitar Hulu Langat.

Selepas beberapa hari, sebahagian besar kawasan terlibat mula pulih, namun kesan ditinggalkan akibat bencana tersebut agak teruk apabila bukan sahaja rumah dan peralatan musnah, tetapi kenderaan turut mengalami kerosakan kerana tenggelam dan dihanyutkan arus.

Ketika menggambarkan situasi banjir baru-baru ini, Ketua Cawangan Pengurusan Angkatan dan Latihan Negeri, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan, Kapten Mohamad Hamka Jamali menyifatkan, ia sesuatu yang sukar untuk diterima oleh mangsa banjir terlibat.

PENDUDUK yang tinggal di kawasan rendah perlu lebih bersedia setiap kali hujan yang boleh mengakibatkan kejadian banjir.

Dia yang turut terlibat dalam misi bantuan pasca banjir menjelaskan, kesukaran lebih terasa apabila kadar kerugian akibat kerosakan harta benda yang dialami mangsa terlalu tinggi menyebabkan mereka seakan-akan hilang semangat untuk mengharungi kehidupan mendatang.

“APM Wilayah Persekutuan banyak melaksanakan bantuan pasca banjir di Selangor, terutamanya di Hulu Langat yang boleh disifatkan agak teruk.

“Ketika kami melakukan misi bantuan pasca banjir di lokasi berkenaan, bantuan dari segi makanan, pakaian atau keperluan asas yang disalurkan oleh pelbagai pihak adalah mencukupi.

“Tetapi, jika melihat pada kesan banjir, keadaan di sana sangat teruk dan mereka sangat memerlukan tenaga kerja sukarela serta peralatan pembersihan rumah disebabkan lumpur yang tebal, selain sisa kayu yang bertaburan di merata tempat,” katanya.

Menurut Mohamad Hamka, jika dilihat kepada kemusnahan dan kerugian ditanggung mangsa banjir di situ, mereka bukan sahaja memerlukan bantuan tersebut dalam tempoh masa yang lebih panjang, tetapi turut memerlukan sokongan moral bagi memulihkan semula semangat mereka.

Mengulas lanjut mengenai bantuan pasca banjir, Pensyarah Psikologi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Awang Idris berkata, kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab dengan menyalurkan pelbagai bantuan diperlukan.

BANYAK harta benda musnah akibat bencana banjir menyebabkan kerugian yang besar.

Malah kata beliau, pihak swasta termasuk syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan orang perseorangan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan dalam meringankan beban mangsa.

“Dari segi bantuan kewangan dan keperluan, boleh dikatakan sudah mencukupi kerana pelbagai sumbangan diberikan pelbagai pihak.

“Cuma, apa yang merisaukan adakah bantuan dari segi sokongan moral kepada mangsa terlibat.

“Tidak dinafikan ada kes ramai mangsa banjir mengalami PTSD (post-traumatic stress disorder) atau gangguan stres pasca trauma iaitu gangguan mental atau emosi yang muncul setelah mengalami banjir yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Kita bimbang bencana dialami pada ketika ini menyebabkan mereka tertekan, apatah lagi selepas menjalani kepayahan hidup sewaktu berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Dr. Mohd. Awang, dalam konteks bencana alam seperti banjir, golongan mudah terdedah kepada PTSD bukan sahaja mereka yang kerap berhadapan dengan musibah tersebut, tetapi juga boleh berlaku kepada mereka yang baru pertama kali mengalaminya.

MOHD. AWANG

Lebih-lebih lagi katanya, situasi banjir atau bencana dialami buat pertama kali itu agak teruk hingga mengakibatkan terpaksa menanggung kerugian besar, atau kehilangan nyawa.

Justeru katanya, sebagai usaha meningkatkan moral dan menstabilkan emosi golongan itu, bantuan dalam bentuk psikologi dan kaunseling perlu diberikan dari semasa ke semasa.

Ia katanya, bagi memulihkan semangat mereka, selain meningkatkan keyakinan bahawa pelbagai bantuan dan sokongan akan terus disalurkan pelbagai pihak agar mereka dapat memulakan kembali kehidupan seperti sebelum ini.

“Kita tidak boleh beranggapan mangsa banjir boleh melupakan begitu sahaja kejadian yang menimpa mereka.

“Mungkin ada juga trauma apabila berhadapan dengan hujan lebat sehingga emosi mereka kerap terganggu.

“Justeru, kena ambil iktibar daripada bencana banjir baru-baru ini dan semua pihak khususnya kerajaan perlu bersedia awal dalam berdepan dengan sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN