fbpx

Ilmu kepimpinan bantu urus bisnes tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA kelahiran Kuala Terengganu berpendidikan dalam bidang kewangan ini langsung tidak menyesal menjadi seorang usahawan dan melibatkan diri dalam perniagaan.

SIAPA sangka, siapa menduga. Itu ungkapan paling tepat digambarkan buat wanita muda kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini.

Memperkenalkan diri dengan nama Nurul Fatimah Mamat, wanita berusia 33 tahun ini sama sekali tidak pernah menyangka radar hidupnya berubah 360 darjah selepas tamat pengajian di universiti hampir sedekad lalu.

Katanya, sewaktu di kampus, dia sangat bergiat aktif dalam kelab kepimpinan dan minatnya begitu mendalam bagi menyahut cabaran sebagai seorang pemimpin satu hari nanti.

Walaupun mempunyai ijazah sarjana dalam bidang kewangan dan mempunyai potensi kerjaya yang lebih besar serta luas di luar sana, dia bagaimanapun sedikit tidak pernah kesal atas tindakannya tidak bekerja dalam bidang yang dipelajarinya itu. 

“Kalau ikutkan, rakan-rakan seperjuangan saya sewaktu di universiti dahulu ramai yang sudah bekerjaya.

“Ada yang kerja di bank, institusi dan pusat kewangan terkemuka negara dan tidak kurang juga menjawat jawatan atasan dalam sesebuah organisasi,” katanya membuka aksara kata bersama Aura.

Menyambung cerita, Nurul Fatimah memberitahu, usai tamat pengajian, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan bersama seorang rakan kongsinya secara suka-suka. 

KAKITANGAN dan barisan staf yang tidak pernah jemu membantu mengembangkan lagi perniagaan tudung bawal Darena.

Katanya, bermula daripada situ dia mula ‘leka’ dan menyulam minat mendalam kepada bidang perniagaan yang diceburi bersama rakannya itu.

“Kalau sebelum ini memang saya dan rakan-rakan berniaga hanya kerana suka-suka dan mahu tambah pendapatan sampingan sebagai suri rumah saja.

“Ikutkan pada waktu itu saya pun sudah berumah tangga dan sudah ada anak, jadi waktu itu agak terhad dan lebih banyak dihabiskan untuk uruskan keluarga.

“Tapi saya tidak sangka bermula daripada hanya suka-suka dan sekadar ingin mencuba, permintaan terhadap tudung yang kami jual laris dan mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Justeru, ujar Nurul Fatimah, selepas rakan niaganya nekad untuk berhenti disebabkan komitmen besar lain, dia cuba untuk beranikan diri menguruskan perniagaan secara bersendirian.

“Nak dijadikan cerita, dek kerana sedikit pengalaman berniaga yang saya ada semasa jual tudung dan beberapa produk lain sebelum ini, saya nekad untuk tidak mahu noktahkannya setakat itu.

“Jadi perlahan demi perlahan saya susun strategi dan langkah bagi menguruskan perniagaan tudung bawal yang saya jalankan.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan Allah. Secara rasminya, perniagaan tudung bawal di bawah jenama Darena ini mula beroperasi Mac tahun ini dan diam tidak diam, saya sudah ada hampir 1,200 pengedar serta ejen di seluruh negara,” ujarnya.

Tambah Nurul Fatimah yang merupakan pengasas syarikat, walaupun niat hanya suka-suka dan tidak pernah fikir hingga ke tahap ini, dia sendiri perlu teruskan demi kepercayaan yang diletakkan ribuan ejen di bawahnya.

SUAMI, Muhamad Auni Mustaffa menjadi pendorong buat Nurul Fatimah untuk terus berjaya dalam perniagaan yang diasaskan.

“Jadi di sini saya mula terfikir, ada baik dan gunanya ilmu kepimpinan yang saya pelajari saat ketika di kampus sebelum ini.

“Walaupun saya tidak bekerja secara khusus dalam bidang kewangan, kini saya lakukan lebih daripada itu. Sebagai seorang ketua, saya jugalah yang berperanan mentadbir, mengurus dan memastikan operasi perniagaan berjalan lancar” tuturnya yang memberitahu Darena hingga kini mempunyai lebih daripada 150 rekaan bagi tudung bawal (printed & plain).

Benar kata orang setiap perniagaan yang diceburi pasti tidak lari daripada sebarang cabaran dan dugaan mendatang, begitu juga yang dilaluinya lebih-lebih lagi baru setahun jagung bertapak dalam pasaran.

“Kalau berniaga tudung ini kita tidak boleh lari daripada diciplak dan ditiru rekaan dari peniaga tidak bertanggungjawab lain yang jual jauh lebih murah.

“Seperkara lagi, keluar masuk ejen dan pengedar memang akan berlaku dan tinggi. Itu bukan di luar bidang kuasa kita sebagai ketua. Jadi apa yang paling penting, peranan saya untuk kuatkan pasukan sedia ada buat masa ini,” katanya seraya menoktahkan bicara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI