fbpx
11 atlet kebangsaan berpeluang menjadi duta kasut jenama antarabangsa.

Atlet negara berpeluang jadi duta jenama sukan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nilai komersial atlet negara terus melonjak apabila jenama sukan antarabangsa, Brooks mempertimbangkan beberapa bakat tempatan untuk dijadikan duta mereka.

Ketika ini, seramai 11 atlet tempatan berada dalam radar jenama berkenaan untuk dipertimbangkan menjalin kerjasama sekali gus memberi nilai tambah kepada sokongan terhadap barang keperluan atlet negara.

Pengarah Paragon Vest, Victor Tiew berkata, pihaknya kini sedang meneliti bentuk kerjasama paling sesuai sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, memandangkan sebelum ini Brooks lebih tertumpu kepada atlet sukan larian.

“Sudah tentu kami berminat, namun perlu melihat terma dan syarat terlebih dahulu termasuk bentuk sokongan, tempoh pelaksanaan serta produk yang sesuai untuk setiap atlet,” katanya pada majlis pembukaan cawangan baharu Brooks di sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini.

Menurutnya, pendekatan itu selari dengan hala tuju baharu jenama berkenaan yang kini tidak lagi tertumpu sepenuhnya kepada sukan larian.

Sebaliknya, Brooks kini mengorak langkah dengan memperluas sokongan kepada pelbagai jenis sukan mengikut keperluan setiap atlet.

“Kami sedang meneroka peluang kerjasama untuk masa depan. Sebelum ini, Brooks dikenali sebagai jenama kasut larian, namun kini kami mahu berkembang sebagai jenama yang menyokong pelbagai jenis sukan.

“Tidak kira apa jua sukan, semua atlet memerlukan latihan kardio termasuk larian. Namun, larian juga mempunyai risiko kecederaan jika tidak diuruskan dengan baik.

“Justeru, kami mahu membantu atlet mengurangkan risiko itu melalui penggunaan produk yang bersesuaian,” katanya.

Majlis pembukaan itu turut dihadiri atlet kebangsaan daripada pelbagai disiplin sukan, antaranya atlet angkat berat, Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin.

Turut hadir atlet berbasikal trek, Muhammad Fadhil Zonis, Nur Aisyah Zubir serta Anis Amira Rosidi.

Selain itu, atlet muaythai, Amisha Azril, pelumba negara, Qabil Irfan Azlan serta Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin turut memeriahkan majlis tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN