KUALA LUMPUR – Selepas 22 tahun, keluarga Along Spoon masih belum dapat menerima kenyataan bahawa jasad yang dikebumikan adalah jenazah anak mereka berdasarkan kepada keadaan fizikal dan pakaian yang ditunjukkan kepada mereka ketika sesi pengecaman mayat.
Ibu arwah, Rohani Abdul Aziz, 58, berkata, memang mereka sudah reda dan terima dengan hati terbuka bahawa Along sudah tiada, namun mereka masih belum percaya yang dikebumikan itu ialah anaknya.
“Setiap keterangan dan bukti yang diberikan, masih belum kuat untuk kami percaya. Memang benar kami dah terima dan reda bahawa Along telah tiada tetapi masih belum percaya.
“Walaupun hari ini genap 22 tahun pemergian arwah, kami sekeluarga masih belum menerima dan percaya bahawa jasad itu adalah milik dia,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini baru-baru ini.
Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik Shafie yang popular dengan lagu Rindu Serindu-Rindunya dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menjumpai rangka dipercayai penyanyi itu yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada 6 Januari 2000.
Polis kemudian menahan Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati sebelum didakwa membunuh penyanyi berusia 19 tahun itu.

Pada 2 November 2010, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan hukuman mati ke atas tertuduh seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban kerana membunuh Along.
Mengimbau semula kejadian itu, Rohani memberitahu, pada malam 25 Disember 1999, arwah ada meminta izin untuk keluar selepas selesai makan malam.
“Ketika itu dia ulang-alik beberapa kali seperti hendak memberitahu sesuatu tetapi tidak terucap.

“Selepas pukul 2 pagi, arwah masih belum balik dan kami membuat laporan polis,” katanya.
Ujar Rohani, pada malam itu, Along ada berjumpa dengan adiknya bersama dua lelaki termasuk Mohamed Ya’cob.
“Itu petunjuk awal dan polis akhirnya menemui mayat yang diikat dan dimasukkan dalam guni kira-kira 10 hari kemudian,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh 22 tahun pemergian Along Spoon, peminat arwah masih setia dan mereka sehingga kini membantu membersihkan pusara arwah.
“Barang-barang arwah di rumah boleh dikatakan sudah habis diberikan kepada peminat,” kata Rohani.
Sementara itu, bapa arwah, Shafiee Yusof, 72, berkata, rindu kepada arwah masih mendalam.
“Along seorang anak yang baik, taat dan hormat orang tua. Sikapnya yang agak berbeza dengan adiknya yang lain menjadikan saya mudah tersentuh setiap kali nama arwah disebut.
“Saya susah nak terima dengan apa yang berlaku dan kami sekeluarga dah cuba macam-macam cara untuk pastikan arwah pulang ke pangkuan keluarga sehingga hampir dua tahun kami usaha dengan pelbagai cara termasuklah berjumpa bomoh sehingga kubur arwah tidak didirikan batu nisan,” katanya.
Tambahnya, mereka pernah berhabis RM200,000 sebagai upah bomoh untuk mencari penyanyi itu di Indonesia dan Thailand.
“Kami sampai percaya bahawa anak kami berada di alam bunian dan hanya boleh dibawa pulang dengan memberi wang cagaran sebanyak RM10,000.
“Ada juga yang meminta kami menyediakan katil putih, ayam kampung dan kami hanya turuti setiap permintaan kerana percaya Along bakal pulang dengan bantuan mereka,” katanya.














