fbpx

Tukar mangga bongkar pejabat klinik dipecah masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Kecurigaan seorang pekerja pejabat terhadap kunci mangga yang telah ditukar ternyata berasas apabila tempat kerjanya itu dipecah masuk penjenayah, baru-baru ini.

Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 11.30 pagi, Isnin lalu dengan semakannya terhadap televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati dua penjenayah memecah masuk sebelum menukar mangga tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pekerja berkenaan kemudiannya telah memotong mangga dan hasil pemeriksaannya mendapati wayar kabel elektrik dari peti meter telah dipotong selain sebuah unit pam air tangki telah tiada.

Katanya, nilai kerugian dianggarkan RM7,000 dengan pejabat tersebut masih dalam proses pengubahsuaian.

“Bertindak hasil maklumat kemudiannya menahan tiga suspek lelaki berusia 30-an dalam tiga serbuan berasingan bermula Isnin hingga semalam.

“Kesemua mereka ditahan di sekitar Bandar Sultan Suleiman, Jalan Pelabuhan Klang dan Kampung Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas satu guni warna putih berisi segumpal wayar yang telah dibakar dengan berat dianggarkan lima kilogram.

Beliau menambah, semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga Sabtu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI