fbpx

Jun Hoong tinggalkan kolam terjun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HOONG mengumumkan persaraan daripada arena sukan terjun selepas kontraknya tidak diperbaharui MSN tahun ini. – InstaGram CHEONG JUN HOONG

SELEPAS lebih dua dekad berbakti kepada negara, Cheong Jun Hoong akhirnya membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan terjun.

Meskipun dilihat masih mahu mewakili negara dan terus membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa, namun dia terpaksa menerima hakikat bahawa kontraknya tidak diperbaharui Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan mereka selama ini. Tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat sekarang.

“Saya juga menghargai bantuan Institut Sukan Negara (ISN) dalam semua aspek termasuk bantuan doktor, fisioterapi, kaunseling, psikologi dan sebagainya.

“Terima kasih atas sokongan dan dorongan berterusan sepanjang saya bergelar atlet. Dengan ini, saya mengumumkan persaraan secara rasmi,” katanya selepas memuat naik kenyataan dalam laman Facebook miliknya lewat malam kelmarin.

Kejayaan terbesar Jun Hoong sepanjang lebih 20 tahun dalam sukan terjun adalah ketika meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil bersama Datuk Pandelela Rinong menerusi acara 10 meter (m) platform seirama.

Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu juga berjaya meraih pingat emas 10m platform individu pada Kejuaraan Dunia 2017 di Budapest, Hungary sebelum cemerlang menjuarai acara 10m platform seirama Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Di pentas Asia Tenggara, Jun Hoong, 32, berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi tujuh pingat emas, satu perak dan tiga gangsa sepanjang lapan penyertaan di Sukan SEA.

Persaraan Jun Hoong menyaksikan Persekutuan Renang Malaysia perlu mencari calon pengganti terbaik selepas seorang lagi ratu terjun negara, Leong Mun Yee turut bersara tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI