ORANG kata, kita hendaklah pandai memilih kawan, kalau tidak kita akan turut terjebak sekiranya tersalah pilih rakan yang suka melakukan perkara yang tidak elok.
Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki dalam kolum Pengakuan minggu ini selepas berkawan dengan lelaki di sebelah bilik sewanya yang sering membawa balik teman wanita untuk bermalam.
Perbuatan maksiat itu akhirnya diketahui jiran-jiran dan mengadukannya kepada pihak surau dan selepas kedua-dua pasangan itu ditahan, lelaki tersebut turut dituduh bersubahat.
—————————————————————————————————————————————–
SELEPAS berjaya menamatkan pengajian di sebuah universiti di utara tanah air, pemuda berusia 23 tahun itu membulatkan tekad untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
Hasil usaha keras serta dibantu keputusan memberangsangkan ketika di universiti, membolehkan Shahrul Ambri (bukan nama sebenar) diterima bekerja di salah sebuah bank terkemuka di ibu kota.
Bagaimanapun, pemuda berasal dari Kulim, Kedah itu mempunyai masalah tentang tempat tinggal apabila berhijrah kelak memandangkan dia tidak mempunyai saudara-mara atau sahabat yang boleh ditumpang di sana.
Ekoran itu, dia terpaksa mencari tempat tinggal secara dalam talian di sebuah portal sebelum menemui sebuah bilik sewa terletak kira-kira 2 kilometer dari tempat kerjanya.
Bilik seluas enam meter persegi itu disewa pada harga RM450 sebulan termasuk kos WiFi, bil air dan elektrik sekali gus memberi kelegaan kepadanya.
“Bilik itu saya sewa sebab ketika itu sangat terdesak hendak cari tenpat penginapan. Saya cari secara online sahaja, kebetulan ia terletak dekat dengan tempat kerja.
“Apabila ada tempat tinggal, ibu bapa saya di kampung tidak risau. Mereka bimbang saya tiada tempat ‘berteduh’ di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Saat melangkah masuk ke tempat tinggalnya, hati Shahrul Ambri cukup girang memandangkan sebuah lagi bilik di rumah itu dihuni oleh pemuda bujang yang sangat peramah.
Pemuda dikenali sebagai Hadi (bukan nama sebenar) yang berusia lewat 20-an itu merupakan pekerja syarikat swasta di satu daerah di Selangor dan telah menetap di rumah berkenaan hampir lima tahun.
Sepanjang sebulan tinggal di situ, dia berasa cukup selesa memandangkan Hadi seorang yang bertolak-ansur dalam hal rumah serta berkongsi minat sama.
“Saya sangat gembira tinggal di rumah ini kerana sifat Hadi yang senang dibawa berbincang. Dia juga seorang pencinta bola sepak sama ada tempatan atau luar negara.
“Kami selalu lepak di kedai mamak untuk menonton perlawanabn bola, kadang-kadang sampai awal pagi. Jadi, rasa rindu terhadap keluarga di kampung tidak terlalu terasa,” tegasnya lagi.
Rutin harian Shahrul Ambri berjalan lancar, sehingga pada satu hari dia terlihat sepasang kasut tumit tinggi berona merah di depan pintu rumahnya.

Disebabkan itu, dia mengatur langkah secara perlahan-lahan masuk ke dalam rumah sebelum terdengar suara wanita sedang ketawa dari bilik Hadi.
“Selepas kejadian itu, saya ada tanya Hadi gerangan wanita berkenaan. Dia (Hadi) hanya beritahu wanita itu merupakan teman wanitanya.
“Saya tidak tanya banyaklah ketika itu. Saya fikir mungkin Hadi bawa wanita itu singgah sebentar sahaja untuk berehat atau mengambil barang tertinggal,” tegasnya.
Malangya, sangkaan Shahrul Ambri itu ternyata meleset sama sekali apabila Hadi dilihat kerap membawa balik wanita itu ke biliknya untuk bermalam, terutamanya pada hujung minggu.
Situasi ini menghadirkan rasa kurang senang sehingga bertindak menegur perbuatan Hadi kerana bimbang mengundang syak kepada jiran di sekeliling.
“Saya ada bagi nasihat, tetapi dia buat tidak endah sahaja. Baginya, saya tidak boleh masuk campur urusannya memandangkan masing-masing membayar sewa.
“Jadi, saya malas hendak tegur lebih-lebih. Saya tahu Hadi melakukan perkara maksiat bersama teman wanitanya di dalam bilik,” ujarnya.
Perbuatan terkutuk itu berlarutan selama beberapa bulan sehinggalah satu hari ketika pintu rumah mereka diketuk dengan sangat kuat seperti hendak pecah.
Shahrul Ambri yang ketika itu sedang berehat selepas pulang dari kerja bergegas membuka pintu sebelum melihat kelibat tiga orang lelaki berserban.
“Mereka menggelarkan diri sebagai geng surau berdekatan rumah kami. Kehadiran mereka adalah untuk menangkap pelaku maksiat selepas menerima aduan jiran.
“Kebetulan ketika itu, Hadi dan teman wanitanya berada di dalam bilik. Mereka terus mengetuk pintu bilik sebelum dibuka oleh Hadi yang ketika itu hanya berseluar pendek.
“Teman wanitanya pula sedang nyenyak tidur. Geng surau itu terus memberkas Hadi dan teman wanitanya sebelum dipanjangkan kepada pejabat agama,” ujarnya.
Shahrul Ambri menyangka dia terlepas daripada hukuman, sebaliknya turut dipanggil oleh pejabat agama bagi memberi keterangan.
Dia dituduh bersubahat dengan Hadi dan teman wanitanya serta saksi utama kes maksiat tersebut. Selepas disoal siasat dan memberi keterangan, dia akhirnya dilepaskan.
“Saya betul-betul menyesal tidak pindah keluar dari bilik itu lebih awal selepas tahu perangai Hadi. Disebabkan dia, saya dituduh bersubahat.
“Ia satu pengalaman yang menginsafkan. Jadi, saya ingin nasihat mereka di luar sana supaya pilihlah rakan serumah yang betul,” ujar lelaki yang telah berumah tangga itu.














