fbpx

37 PPS dibuka libatkan 2,022 mangsa di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa banjir di Johor terus meningkat.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk apabila jumlah mangsa melibatkan daerah Segamat, Tangkak dan Kota Tinggi terus meningkat kepada 2,022 mangsa setakat 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 512 keluarga yang kini ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, sebanyak 34 daripada PPS tersebut adalah Segamat manakala dua di Kota Tinggi dan satu di Tangkak.

“Mangsa banjir paling ramai berjumlah 274 orang daripada 70 keluarga di PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Kang diikuti 267 orang (73 keluarga) di PPS di Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Tenang, Labis.

“Sementara itu, 211 orang (53 keluarga) di PPS di Dewan Serbaguna Logah manakala hanya sebuah PPS dibuka di Tangkak yang menempatkan 40 orang (10 keluarga) di Sekolah Agama (SA) Bandar Tangkak.

“Dua PPS di Kota Tinggi di SK Telok Ramunia, Pengerang dan SK Mawai masing-masing menempatkan 16 mangsa di PPS tersebut,” katanya.

Vidyananthan berkata, Sungai Segamat di Bandar Segamat, Sungai Lenik di Ladang Chaah, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak dilaporkan berada pada paras bahaya.

Selain itu katanya, sebanyak tujuh jalan di tiga daerah terpaksa ditutup dan terputus hubungan akibat banjir dan cerun runtuh.

“Ia melibatkan jalan ke Kampung Orang Asli Peta dan Jalan ke Kampung Orang Asli Punan bagi daerah Mersing dan Jalan Lingkaran Kahang Barat di Kluang akibat cerun runtuh.

“Bagi daerah Segamat pula, ia turut melibatkan Jalan Putting ke Kampung Putting, Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung, Jalan Kuala Paya Balai Badang dan Jalan Tumang,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI