fbpx

PM tidak terkesan dengan kritikan isu i-Citra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

TEMERLOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau langsung tidak terkesan dengan kritikan dan hinaan terhadapnya dalam isu pengeluaran wang melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra yang dibuat di media sosial.

Tegas beliau, kritikan itu tidak menjejaskannya sebaliknya tumpuan lebih utama ketika ini adalah terus bekerja untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati, yang memaki hamun akan terus membuat kerja mereka.

“Kerja saya menjaga kepentingan rakyat dan tugas orang untuk memaki dan menghina melalui media sosial (berhubung i-Citra) itu tugasnya.

“Saya tidak terkesan, yang hendak hentam terserah kepada mereka. Ia tidak menyekat saya untuk terus bertugas demi kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi mangsa banjir Parlimen Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, Dataran Bahaman di Lanchang di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kerajaan sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir beberapa bulan akan datang adalah amat mencabar dan memerlukan sokongan semua untuk bangkit semula membina kehidupan.

Ekoran itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited untuk memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka memerlukan.

Jelasnya, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dan ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang KWSP.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, dengan usaha tersebut, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekali gus boleh merancang masa depan selepas bersara. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI