fbpx

Mangsa banjir tidak perlu usik wang KWSP- PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika berucap pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

PUTRAJAYA – Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana banjir di beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini layak menerima pemberian tunai mencecah sehingga RM10,000 dalam usaha kerajaan untuk meringankan bebanan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian tunai tersebut merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

“Menerusi usaha ini (pemberian tunai), pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekaligus mampu merancang masa depan selepas bersara.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka tabah menghadapi ujian ini. Kerajaan sedar kehidupan mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan amat memerlukan sokongan penuh untuk bangkit semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung bersempena sambutan Tahun Baharu 2022 malam tadi.

Jelas beliau, dalam usaha untuk meringankan beban mangsa yang terkesan akibat banjir, bantuan-bantuan yang bakal disalurkan akan ditambah baik agar lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Antara bantuan tunai disediakan untuk rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir adalah Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR dan baucar tunai RM500 bagi pembelian barangan elektrik bagi setiap keluarga mangsa banjir yang terkesan

Tambah Ismail Sabri, bagi pemilik kenderaan jenis Perodua dan Proton yang terkesan, syarikat berkenaan menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tundaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

“Syarikat lain pula akan menyediakan perkhidmatan tundaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

“Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir pula kerajaan turut menyediakan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain bermula pada Januari tahun hadapan,” ujar beliau.

Kerajaan turut menyalurkan bantuan sehingga RM5,000 untuk membaiki rumah yang mengalami kerosakan tidak serius dan akan membaik pulih rumah mangsa yang rosak serius dengan kos sehingga RM15,000.

“Bagi kediaman yang musnah dan tidak boleh diduduki pula sebanyak RM56,000 akan dibantu oleh kerajaan bagi tujuan pembinaan unit rumah baru selain RM2,500 bagi pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI