fbpx
Long Tiger (berbaju lokap) diiringi sekumpulan anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, Johor hari ini untuk direman selepas dicekup polis di Sungai Petani, Kedah, semalam. - Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

[VIDEO] Long Tiger, 3 lelaki direman empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK – Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab. Hamid yang dicekup polis di Sungai Petani, Kedah petang semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, pagi ini.

Lelaki berketurunan Rohingya berusia 32 tahun itu dibawa ke mahkamah terbabit bersama tiga lagi individu lelaki yang berusia 36; 38, dan 46 tahun dipercayai terlibat memberi perlindungan kepada Long Tiger.

Keempat-empat mereka termasuk lelaki yang berperwatakan wanita yang dicekup bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani serta di Yong Peng, Batu Pahat, kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Januari.

Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.

Semalam, penjenayah paling dikehendaki itu ditangkap pada pukul 3.15 petang ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani.

Ketika ditangkap lelaki berkenaan mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pada 15 Disember lalu, Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Suspek juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang berusia 41 dan 43 tahun disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Butiran lanjut mengenai tangkapan Long Tiger dan tiga suspek lain dijangka diberikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, tengah hari ini.-K! ONLINE

POPULAR