fbpx
Nazrini Shuhada (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini untuk menghadapi pertuduhan menjual rantai leher seorang warga emas yang dicurinya bulan lalu. FOTO: ZULHANIFA SIDEK

Pembantu kantin jual rantai leher curi kena jel 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang pembantu kantin sekolah dipenjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjual rantai leher seorang warga emas yang dicurinya pada bulan lalu.

Tertuduh, Nazrini Shuhada Abdullah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar

Tertuduh didakwa menjual seutas rantai leher emas seberat 14.72 gram milik seorang wanita berusia 81 tahun kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Smart Venture Sdn. Bhd. yang diketahui bahawa barangan tersebut merupakan harta curi.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Perumahan Desa Darul Naim, Mukim Gunung di sini pada 30 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.

Terdahulu, Asmah memohon hukuman yang setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama selepas ini.

Siti Atikah pula merayu hukuman penjara yang minimum selepas yakin tertuduh mengambil iktibar atas kesalahan yang dilakukan.

“Pengakuan bersalah tertuduh sudah menjimatkan kos dan masa mahkamah. Selain itu, tertuduh juga menanggung seorang anak berusia dua tahun dan bapanya yang uzur dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara selama enam bulan bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang menunggang sebuah motosikal bersama anaknya menarik rantai emas dipakai seorang wanita warga emas semasa mangsa berada di rumahnya di Kampung Panjang Banggu di sini.

Kejadian itu telah menyebabkan leher mangsa luka selain mengalami kerugian sebanyak RM3,000. Siasatan mendapati, tertuduh menjual rantai emas itu kepada Yapeim Smart Venture Sdn. Bhd., Pasir Tumboh. – K! ONLINE

POPULAR