fbpx

Laluan ‘jerangkap samar’ ragut satu nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditutup selepas dihempap batu semasa menunggang motosikal menghala ke Bukit Fraser, Raub kelmarin.

RAUB – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dihempap satu bongkah batu yang jatuh semasa berkonvoi di Kilometer 35.4, Jalan Tranum-Bukit Fraser yang menjadi laluan ‘jerangkap samar’ kelmarin.

Kejadian pada pukul 12.25 tengah hari itu mengorbankan mangsa, Nor Eaffendi Mohamad Samsi, 51, yang berasal dari Ulu Tiram, Johor.

Mangsa dikatakan menunggang motosikal bersama iste­ri­nya selain turut disertai lebih 20 penunggang motosikal lain dalam perjalanan menghala ke Bukit Fraser.

Dalam kejadian itu, topi ke­ledar yang dipakai mangsa retak akibat dihempap batu dan lelaki itu mengalami kecederaan parah iaitu keretakan pada tempurung kepala. Isteri Nor Eaffendi bagaimanapun terselamat.

TOPI keledar yang dipakai mangsa rosak akibat dihempap bongkah batu menyebabkan tengkoraknya retak.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, siasatan awal daripada isteri mangsa mendapati, semasa tiba di lokasi keja­dian, dia terdengar bunyi hentakan kuat.

“Motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri tersebut terbabas ke kanan jalan menyebabkan mereka terjatuh.

“Pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati ada pendarahan pada muka sementara topi keledar yang dipakai lelaki itu retak di bahagian atasnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Kama Azural, mayat Nor Eaffendi kemudian dihantar ke Hospital Raub di sini untuk dibedah siasat.

Tambah beliau, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Bedah siasat ke atas si mati mendapati ada kecederaan iaitu pendarahan pada otak dan tempurung kepalanya juga mengalami keretakan.

Kosmo! pada 6 Disember lalu melaporkan laluan dari Tranum ke Bukit Fraser sepanjang kira-kira 30 kilometer dianggap sebagai ‘jerangkap samar’ apabila terdapat lebih 60 runtuhan kecil dan besar di lereng bukit selain pokok tumbang.

KERATAN Kosmo! 6 Disember 2021.

Tinjauan mendapati keba­nyakan kawasan tanah runtuh itu hanya ditutup dengan plastik dan ada antaranya telah rosak selain terdapat batang pokok dan bongkah batu yang ‘tergantung’ menunggu masa untuk jatuh ke atas jalan.

Selain itu, terdapat kesan runtuhan tanah yang baharu berlaku dan pokok yang dipotong kerana merintang jalan.

Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar memaklumkan risiko kejadian tanah runtuh di laluan berbukit ke Bukit Fraser adalah tinggi berdasarkan kepada kecuraman kawasan berkenaan serta unsur tanah terluluhawa selain mendapan tanah runtuh di kawasan tersebut .

Kawasan Bukit Fraser turut terpalit dengan kawasan Zon Sesar (Gempa Bumi) Kuala Lumpur dari Bukit Tinggi sehingga ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI